Khamis, 22 Oktober 2020 | 1:01pm
Taman Negara, Kuala Tahan sunyi dari kunjungan pelancong berikut selepas ia ditutup sejak 6 Oktober lalu - Foto NSTP/Roselan Ab Malek
Taman Negara, Kuala Tahan sunyi dari kunjungan pelancong berikut selepas ia ditutup sejak 6 Oktober lalu - Foto NSTP/Roselan Ab Malek

Taman Negara Kuala Tahan ditutup, pengusaha pelancongan mengeluh

JERANTUT: Suasana sepi. Tiada lagi kedengaran bunyi kenderaan atau enjin bot membawa pelancong di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan menikmati keindahan hutan Taman Negara.

Tinjauan mendapati, rumah tumpangan dan chalet kosong, perahu jalur dan perahu kajang tersadai di tebing sungai, kedai makan dan restoran terapung kosong, jalan raya juga sepi.

Itulah gambaran Kuala Tahan, pintu masuk ke Taman Negara, hutan hujan tropika tertua di dunia yang berusia 150 juta tahun yang sebelum ini meriah dengan kedatangan pelancong domestik dan luar negara.

Suasana ini adalah kali kedua sejak 6 Oktober lalu selepas kali pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan antara 18 Mac hingga 15 Jun lalu.

Seorang pemandu pelancong, Roslan Abu Kassim, 55, berkata sebelum ini sepanjang tahun, Kampung Kuala Tahan meriah dengan pelancong dan cuma jumlahnya menurun pada musim tengkujuh pada akhir tahun.

"Bagaimanapun, penutupan Taman Negara dua kali telah menyebabkan pengunjung kurang dengan mendadak sehingga memberi kesan kepada pengusaha industri itu.

"Deretan pusat maklumat pelancongan di sini menutup operasi mereka, sementara kebanyakan chalet dan rumah tumpangan telah memberi cuti sementara atau selama-lamanya kepada kakitangan masing masing kerana mereka tidak mempunyai perniagaan, " katanya.

Pengurus Tebing Guesthouse, Mohd Abdul Rani Harun, 50, berkata, beliau menerima banyak e-mel dan pertanyaan mengenai bila Taman Negara itu akan dibuka semula.

Beliau berkata ramai pengusaha chalet sepertinya tidak pasti bila taman itu akan dibuka semula kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada 5 Oktober mengatakan bahawa ia ditutup sehingga diberitahu kelak.

"Ramai pengusaha chalet dan rumah tumpangan terpaksa memulangkan deposit atau pembayaran pesanan yang dibuat oleh pelancong yang sudah membuat tempahan ke Taman Negara," katanya.

Mohd Abdul Rani, yang mempunyai rumah tumpangan bertaraf tiga bintang menawarkan 16 bilik, berkata beliau biasanya menggaji empat pekerja tetapi terpaksa meminta mereka bercuti tanpa gaji ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac dulu.

"Mereka kembali bekerja ketika Taman Negara dibuka semula pada Jun. Namun begitu pelancong terpaksa meninggalkan Taman Negara pada 7 Oktober, dengan adanya arahan terbaru itu saya terpaksa meminta pekerja bercuti sekali lagi," katanya yang melakukan sendiri kerja pembersihan dan penyelenggaraan di premis itu.

Bagi Rasdan Salleh, 43, yang menguruskan Danz Eco Resort ketika perniagaan kembali beroperasi pada Jun, beliau menawarkan pakej harga rendah untuk menarik pengunjung dan semuanya berjalan seperti yang dirancang tetapi penutupan secara tiba-tiba kali ini telah merosakkan semua rancangan promosi.

"Sebilangan besar dari kami berada dalam keadaan sukar kerana terpaksa membayar pinjaman bank dan jika tidak ada tabungan, akan lebih sukar menjelang musim tengkujuh kelak.

"Tahun-tahun sebelum ini, kedatangan pelancong adalah menggalakkan antara Februari dan November dan meningkat dua kali ganda pada Jun dan September terutamanya kedatangan pelancong dari Eropah.

"Kami memastikan penjimatan yang mencukupi untuk menghadapi musim tengkujuh antara November dan Januari tetapi sayangnya tahun ini kami tiada pendapatan berbulan-bulan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman, berkata jika keadaan itu berterusan, ramai pengusaha akan gulung tikar kerana terputus punca pendapatan.

Justeru lapan persatuan termasuk wakil suku kaum Orang Asli Bateq menghantar memorandum berkaitan isu itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh, supaya tindakan diambil.

Mereka mendakwa kerugian mencecah hampir RM2 juta bagi bulan Oktober dan November tahun ini kerana ketiadaan pelanggan dan susulan pembatalan tempahan bilik, pakej aktiviti, sajian makanan, sewaan bot, pemandu pelancong dan bayaran fi (lesen pelancongan).

Sementara itu Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, menggesa Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara kerana ramai penduduk Kuala Tahan hilang punca pendapatan.

Katanya adalah tidak wajar Taman Negara, Kuala Tahan ditutup kerana negeri Pahang bukan berada di bawah zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Berita Harian X