Rabu, 21 Oktober 2020 | 6:33pm
 Dr Ismail Sualman. - Foto NSTP
Dr Ismail Sualman. - Foto NSTP

Gencatan politik tepat pada masanya

KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO melaksanakan gencatan dan mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membantu rakyat yang berdepan pandemik COVID-19, mampu meredakan kemelut politik negara.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berkata kenyataan itu secara tidak langsung menjadikan agenda membela rakyat dan negara adalah keutamaan semua pihak ketika ini.

"(Kenyataan UMNO) bukan menyelesaikan tetapi meredakan kemelut politik dan pada masa sama memberi tumpuan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

"Sudah semestinya mendalami hati nurani dan kehendak rakyat adalah perkara yang perlu diutamakan, bukan pergelutan politik yang berpanjangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, sudah tiba masa semua pihak melaksanakan 'lockdown' politik kerana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ketika ini bukan hanya untuk memenuhi cita rasa sendiri, sebaliknya mengutamakan rakyat.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, gencatan politik dilakukan UMNO menunjukkan parti itu mengambil kira keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap kes penularan COVID-19 yang meningkat setiap hari.

Katanya, tindakan sedemikian juga meredakan 'suhu' politik negara, sekali gus memastikan semua pihak kembali memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik terbabit.

"UMNO turut berpendirian untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi melaksanakan sistem tadbir urus negara dengan memberi fokus kepada agenda rakyat.

"Laporan yang memetik UMNO dan PAS bersetuju mendaftar Muafakat Nasional secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga adalah berita baik.

"Semua pihak perlu mengambil peluang redakan ketegangan situasi politik sedia ada, ambil kira perasaan rakyat yang kini bimbang dengan situasi COVID-19," katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan parti itu mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menfokuskan agenda membantu rakyat dan negara yang berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Parti itu turut melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Berita Harian X