Rabu, 21 Oktober 2020 | 4:16pm
Ketua Jabatan perlu susun penggiliran kakitangan yang bekerja di rumah. Foto NSTP
Ketua Jabatan perlu susun penggiliran kakitangan yang bekerja di rumah. Foto NSTP

Ketua Jabatan kena susun penggiliran jadual BDR

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kakitangan peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak perlu berada di lapangan atau pejabat untuk Bekerja Dari Rumah (BDR).

Presidennya, Adnan Mat, berkata langkah itu boleh dilakukan sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa supaya kehadiran di pejabat dapat dioptimumkan pada kadar kurang daripada 30 peratus.

Katanya, kakitangan yang perlu BDR juga harus memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai anak kecil, pasangan bertugas di barisan hadapan atau bekerja di sektor swasta yang perlu bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ketua Jabatan perlu membuat penyusunan tugas mengikut kumpulan yang akan BDR dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh PKPB ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan dasar BDR dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah.

Adnan berkata, penggiliran untuk kumpulan yang BDR dan kumpulan akan bertugas di lapangan boleh dilakukan mengikut keperluan jabatan supaya tidak memberi kesulitan kepada kakitangan.

Katanya, CUEPACS yakin sebahagian besar kakitangan awam tidak berhadapan masalah untuk BDR memandangkan perkara ini dilaksanakan pada Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"CUEPACS juga yakin pelaksanaan BDR yang akan mengurangkan sehingga 70 peratus kakitangan di lapangan atau pejabat tidak menjejaskan perkhidmatan dan penyampaian jabatan serta agensi kerajaan.

Justeru, CUEPACS menggesa semua Ketua Jabatan untuk mematuhi arahan keberadaan kakitangan di pejabat pada tahap maksimum 30 peratus dalam usaha membendung penularan COVID-19 ketika ini.

"CUEPACS juga berharap semua Ketua Jabatan di perkhidmatan kerajaan peringkat negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan mengikut langkah sama melaksanakan langkah BDR.

Dalam masa yang sama, CUEPACS menasihatkan masyarakat untuk menyusun jadual mereka sekiranya perlu berurusan di pejabat kerajaan bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

"Perkhidmatan penting kerajaan masih lagi beroperasi seperti biasa. Keutamaan ketika ini adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pada masa sama memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.

Berita Harian X