X
Rabu, 21 Oktober 2020 | 2:27pm
HOSPITAL Medan Malaysia di Cox Bazar, Bangladesh. FOTO FILE NSTP
HOSPITAL Medan Malaysia di Cox Bazar, Bangladesh. FOTO FILE NSTP

Objektif penubuhan HMM di Cox's Bazar sudah tercapai

KUALA LUMPUR: Pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox's Bazar, Bangladesh, yang sepatutnya berlangsung hingga Disember 2021, ditamatkan lebih awal pada Mac lalu kerana objektif penubuhan hospital itu sudah tercapai.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata penarikan keluar operasi berkenaan tidak memberi kesan terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dengan Bangladesh serta imej negara.

"Sejak pengoperasian pada November 2017 hingga Mac lalu, HMM mencatat jumlah keseluruhan kehadiran pesakit mencecah 108,038 orang dengan petugas telah melaksanakan lebih 3,500 pembedahan, termasuk lebih 900 pembedahan berisiko tinggi.

"Kehadiran pesakit juga pernah mencapai 8,763 orang sebulan, iaitu jumlah bulanan tertinggi, pada November 2018.

"Jumlah kehadiran pesakit bulanan bagaimanapun menunjukkan trend menurun di mana seramai 1,690 orang saja mendapatkan rawatan di situ pada Februari tahun ini," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata operasi HMM di kem pelarian Cox's Bazar ditamatkan lebih awal pada 26 Mac lalu atas beberapa faktor.

Ia termasuk penularan COVID-19 di Bangladesh, penurunan ketara jumlah kes dan kecederaan kecemasan, serta pertambahan bilangan hospital medan yang beroperasi di sana.

Affendi juga dipetik sebagai berkata, pengoperasian HMM pernah diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai HMM Tahap 3 terbaik, iaitu HMM menjadi pusat rujukan bagi hospital lain di sekitar Cox's Bazar.

Menurut kenyataan itu lagi, trend penurunan adalah berikutan keadaan di kawasan kem pelarian semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik kerana penyakit kronik telah diberikan rawatan sewajarnya serta banyak prosedur pembedahan berjaya dilaksanakan.

"Selain itu, ada pertambahan enam hospital medan dalam kawasan kem pelarian kendalian Kerajaan Turki dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain seperti Mèdecins Sans Frontiéres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship.

"Pertambahan bilangan hospital medan ini memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya serta penduduk tempatan yang secara langsung telah mengurangkan kebergantungan mereka pada HMM," katanya.

Kementerian itu menjelaskan, kepulangan petugas perubatan ATM ke tanah air juga membolehkan pengoperasian penuh Hospital Angkatan Tentera (HAT) di seluruh negara.

"Pada masa sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan untuk menangani penularan COVID-19 yang sedang menunjukkan trend peningkatan," katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X