Rabu, 14 Oktober 2020 | 3:12pm
Kenderaan KKM membawa petugas perubatan memasuki Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi di sini. - NSTP/DANIAL SAAD
Kenderaan KKM membawa petugas perubatan memasuki Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi di sini. - NSTP/DANIAL SAAD

COVID-19: Semua banduan Penjara Seberang Prai jalani saringan

NIBONG TEBAL: Semua banduan di Penjara Seberang Perai di sini, akan menjalani ujian saringan COVID-19 secara berperingkat.

Ia berikutan kemasukan tiga banduan baharu dua minggu lalu yang disahkan positif COVID-19.

Ketika ini, kira-kira 200 sampel saringan COVID-19 sudah diambil petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed, berkata Penjara Seberang Perai menempatkan lebih 2,000 banduan.

"Selepas mendapati ada tiga banduan positif COVID-19, kita memohon KKM menjalankan ujian saringan ke atas semua banduan sebagai langkah pencegahan awal.

"Ia akan membolehkan kita membuat pengasingan dan kuarantin mereka yang didapati positif COVID-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, KKM memaklumkan Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan di situ dikesan positif COVID-19.

Tiga banduan itu awalnya ditempatkan di Penjara Reman Pulau Pinang sebelum dimasukkan ke Penjara Seberang Perai sejak dua minggu lalu selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Bagaimanapun, mereka diasingkan di blok lain seperti mana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Penjara.

Roslan berkata, ujian saringan COVID-19 ke atas kakitangan penjara berkenaan termasuk yang menjadi kontak rapat banduan berkenaan, selesai dijalankan oleh KKM.

"Kita masih menunggu keputusannya manakala banduan positif COVID-19 diasingkan dan dikuarantin di blok transit, jauh dari blok banduan lain.

"Banduan positif COVID-19 menjalani rawatan sewajarnya dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 160 kes positif COVID-19 direkodkan bagi Kluster Penjara Reman Pulau Pinang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X