Selasa, 13 Oktober 2020 | 9:39pm
Pakar keselamatan siber dan fizik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin
Pakar keselamatan siber dan fizik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin

Syarikat tempatan mampu bangunkan sistem atasi ancaman siber

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan mempunyai keupayaan tersendiri dalam membangunkan sistem sekuriti siber bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam menghadapi ancaman siber.

Pakar keselamatan siber dan fizik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin, memaklumkan sudah ada banyak syarikat tempatan yang mampu memberi penyelesaian keselamatan siber di negara ini.

"Terdapat banyak syarikat di negara ini yang diterajui warga tempatan mampu membangunkan sistem sekuriti siber yang setaraf dengan kemampuan pihak luar.

"Yang penting produk mereka perlu mendapat pensijilan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk diiktiraf dan digunakan oleh kerajaan Malaysia," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menurutnya, isu ancaman keselamatan siber sehingga berlaku kebocoran maklumat kerajaan dan orang awam sukar untuk ditangani secara menyeluruh kerana wujud elemen manusia selain teknologi, prosedur operasi standard (SOP) dan polisi.

"Kita mempunyai teknologi, dasar dan garis panduan namun yang menjadi kunci utama untuk menggerakkannya adalah manusia.

"Ada sesetengah yang mampu mematuhi peraturan atau dasar yang ditetapkan namun ada segelintirnya tidak, bukan seperti robot yang diprogramkan dan bergerak atau berfungsi apabila diarahkan.

"Justeru, manusia mempunyai pilihan yang mana ia dipengaruhi oleh sistem penilaian mereka sendiri," jelas beliau.

Katanya, kealpaan dalam memastikan sistem penyimpanan data atau perkongsian data tidak mudah diceroboh atau tidak mudah dicuri menjadi peluang kepada penggodam yang berniat jahat dan bermotivasi untuk mengaut keuntungan material.

Menyentuh mengenai keperluan menambah baik akta dan undang-undang sedia ada berkaitan dengan jenayah siber dan komputer, beliau senada dengan pandangan diutarakan Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nazura Abdul Manap dalam laporan BH, sebelum ini.

Nazura dilaporkan berkata proses evolusi undang-undang di negara sedang membangun termasuk Malaysia tidak sejajar dengan perkembangan dan kemajuan teknologi.

"Sebagai contoh, Akta Jenayah Komputer 1997 tidak menyeluruh dan sepatutnya sudah tiba masa ia disemak semula. Akta ini berkaitan penyalahgunaan komputer untuk tujuan melakukan jenayah.

"Di bawah akta ini, akses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data dalam sesebuah komputer adalah salah dan boleh dikenakan hukuman.

"Ia lebih kepada kesalahan menggodam sistem komputer. Apa salahnya kita baiki akta ini dengan turut membabitkan harta tidak tampak," katanya.

Berita Harian X