Selasa, 6 Oktober 2020 | 6:04pm
Ahmad Najhan. Gambar dari Facebook
Ahmad Najhan. Gambar dari Facebook

Ahmad Najhan teruja tunai umrah dalam norma baharu

KUALA LUMPUR: Tiada kata-kata dapat digambarkan seorang rakyat Malaysia yang berpeluang menunaikan umrah dalam norma baharu selepas Arab Saudi membuka kembali kota Makkah pada Ahad lalu.

Ahmad Najhan Hassim, 29, yang berkhidmat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah sebagai jururawat antara individu bertuah yang termasuk dalam kumpulan terawal dibenarkan mengerjakan umrah.

Berasal dari Taman Seri Gombak, Selangor, Ahmad Najhan mengakui beliau tidak menyangka niatnya 'mencuba' mendaftar sebagai jemaah umrah dalam aplikasi, Eatmarna, diperkenalkan Arab Saudi pada 28 September itu, diterima pihak berkuasa di sana.

Katanya, sebaik tiba di tanah suci, beliau tidak melepaskan peluang berdoa perkara yang baik khususnya meminta supaya pandemik COVID-19 yang kini kesnya semakin meningkat di negara ini segera berakhir.

"Untuk umrah dalam norma baharu ini, pada mulanya saya sekadar mencuba aplikasi yang kerajaan Arab Saudi lancarkan kerana sekarang ini semua harus dibuat secara dalam talian.

"Dalam pada cuba-cuba itu, sekali diluluskan sebagai jemaah untuk hari pertama, Ahad lalu. Saya amat teruja dan terus minta cuti sehari untuk mengerjakan umrah pada hari berkenaan.

"Sebaik tiba di sana, perasaan itu memang sangat teruja dan keinginan untuk menatap Kaabah amat dirasai malah kepuasan itu dirasakan berganda kerana kita boleh menatap dan berdoa dengan jarak dekat tanpa bersesak dengan jemaah lain.

"Saya turut menemui jemaah rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi dan sama-sama terpilih bagi umrah ini, " katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Pada akhir Februari lalu, Arab Saudi menangguhkan kemasukan individu ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah di Madinah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada 4 Mac lalu, pihak berkuasa negara itu juga tidak membenarkan rakyatnya menunaikan umrah.

Berkongsi pengalaman menunaikan umrah, Ahmad Najhan, berkata semua prosesnya penuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mana sebaik tiba di tanah suci, pihak berkuasa akan melakukan saringan suhu kepada semua jemaah.

Beliau yang tiga tahun menetap di Arab Saudi berkata, semua jemaah juga disarankan untuk membuat ujian calitan beberapa kali sebelum menunaikan ibadat itu.

"Semua jemaah harus mengikuti SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal dan tidak boleh bersentuhan sesama seperti umrah sebelum ini.

"Disebabkan bilangan jemaah dihadkan dalam satu-satu masa, kita nampak lapang saja di ruang tawaf dekat Kaabah dan sangat selesa untuk beribadat.

"Namun jemaah hanya diberi masa tiga jam untuk menyempurnakan semua rukun dan ia dikawal menerusi aplikasi yang dikeluarkan kerajaan.

"Pergerakan jemaah dipantau menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) yang kita daftarkan melalui kad sim masing-masing, " katanya.

Beliau yang sudah beberapa kali menunaikan ibadat umrah sebelum ini berkata, selepas tiga jam, jemaah perlu keluar bagi memberi peluang kepada kumpulan jemaah lain untuk memasuki Masjidil Haram.

Katanya, jemaah dilarang menyentuh kiswah Kaabah dan juga mencium Hajarul Aswad, selain benteng juga dipasang di sekeliling Kaabah dan dijaga pengawal.

"Air zam zam yang kebiasaannya disediakan secara bebas di sekitar masjid untuk dinikmati jemaah kini ditukar dengan diberikan menerusi botol.

"Saya berasa kasihan juga terhadap jemaah yang kurang celik teknologi kerana ia agak menyukarkan mereka, " katanya yang membuat keputusan untuk berhijrah ke Arab Saudi selepas pemergian ibu-bapanya akibat sakit tua pada 2014 dan 2015 lalu.

Berita Harian X