Isnin, 5 Oktober 2020 | 3:22pm
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji Mustakim Mohamad (dua, kiri) bergambar sambil memegang plakat selepas majlis pelancaran aplikasi telkefon pintar THiJARI di Menara Tabung Haji.Turut sama Ketua Pegawai Kewangan TH, Datuk Merina Abu Tahir (kiri) Pengarah Eksekutif Pelaburan Tabung Haji, Hizamuddin Jamalluddin (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Modal Insan Tabung Haji, Rina Sarif (kanan) - Foto BERNAMA

TH sasar 500,000 pengguna THiJARI menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) menjangka 500,000 pengguna menggunakan platform urusniaga dalam taliannya, THiJARI, menjelang akhir tahun ini.

Ia adalah tambahan 200,000 kepada 300,000 jumlah pengguna aplikasi itu pada masa ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata jumlah pengguna dijangka bertambah didorong oleh pelancaran aplikasi telefon pintar THiJARI oleh TH.

Beliau berkata aplikasi telefon pintar THiJARI yang dibangunkan TH akan memudahkan pengguna melakukan transaksi masing-masing, selari dengan kepesatan teknologi semasa.

Katanya, aplikasi berkenaan adalah lanjutan daripada portal THiJARI yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.

THiJARI boleh dimuat naik dari Play Store atau App Store, secara percuma, dan ia membolehkan pengguna melakukan segala transaksi seperti pertanyaan baki, mencetak penyata, pemindahan wang, menyemak status serta pendaftaran haji.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi berkenaan di Menara TH di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Hasyudeen berkata, 78 peratus transaksi TH kini dilakukan dalam talian manakala baki 22 peratus lagi membabitkan urusan di kaunter.

Sementara itu beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 tidak menjejaskan operasi TH apabila jumlah deposit meningkat sebanyak RM5 bilion sejak lapan bulan lalu.

"Kami dapati keyakinan orang ramai terhadap operasi TH tidak berkurangan, sebaliknya meningkat walaupun ketika pejabat perlu ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga kini jumlah deposit adalah RM75 bilion," katanya.

Mengenai pelaksanaan ibadat Haji, Nik Mohd Hasyudeen berkata, kuota atau prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan ibadat Haji hanya akan diketahui sebaik menteri berkenaan bermesyuarat di Arab Saudi.

"Sebenarnya ada mesyuarat tahunan antara menteri haji Arab Saudi dengan menteri dari negara Islam berkaitan," katanya.

Berita Harian X