Ahad, 4 Oktober 2020 | 6:56pm

UUM tangguh pendaftaran pelajar sesi Oktober

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan pendaftaran masuk pelajar baharu dan lama secara fizikal berikutan peningkatan kes penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali, berkata pendaftaran pelajar tetap dilaksana secara dalam talian bagi sesi Oktober 2020 ini.

"Berikutan perkembangan semasa COVID-19 di negara ini, UUM bersetuju menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar secara fizikal sehingga ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Namun pendaftaran pelajar tetap dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran dibuat secara dalam talian sehingga pengumuman baharu dibuat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali. - Foto NSTP
Timbalan Naib Canselor (HEPA) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali. - Foto NSTP

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya kelmarin, mengumumkan penangguhan pendaftaran pelajar secara fizikal di semua institusi pengajian tinggi pada bulan ini.

Hendrik berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar terjamin.

"Bagi pelajar yang kini berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh terus kekal berada di kampus dan pihak universiti akan membantu segala keperluan diperlukan.

"Minggu Suai Kenal (MSK) pelajar baharu pada 7 dan 8 Oktober diteruskan seperti yang dijadualkan secara dalam talian, manakala Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) juga akan berjalan mengikut jadual secara dalam talian mulai 11 Oktober," katanya.

Beliau turut memberi jaminan pihak universiti akan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan KPT bagi mencegah penularan wabak.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X