Sabtu, 3 Oktober 2020 | 11:09pm
IPT digesa buka penempatan kepada penuntut. Foto arkib NSTP
IPT digesa buka penempatan kepada penuntut. Foto arkib NSTP

Buka penempatan kepada penuntut walaupun tiada pendaftaran

KUALA LUMPUR: Institut pengajian tinggi (IPT) digesa membuka penempatan kepada pelajar yang tiba di kampus, walaupun tidak dapat meneruskan pendaftaran.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, ketika menyuarakan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan ramai penuntut terkandas dan tidak mendapat tempat tinggal sementara.

Beliau berkata, IPT bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan pelajar, walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengeluarkan arahan supaya sesi penangguhan ditangguhkan.

"MPPK juga mohon kepada IPT lain yang berdekatan untuk membantu menempatkan pelajar di IPT mereka sekiranya ada IPT yang masih tidak mahu menempatkan mereka di penempatan sepatutnya.

"Kami amat menghargai inisiatif pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik yang prihatin dengan kesukaran penuntut.

"Inisiatif ini termasuk memberikan tempat tinggal sementara dan mengutip wang secara 'crowdfunding' (pendanaan awam) untuk dijadikan sumbangan kepada mahasiswa terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Amir memohon supaya semua pihak berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya kerana enggan inisiatif untuk membantu penuntut IPT itu mencetuskan masalah berbangkit.

Beliau khuatir masalah penipuan, berkaitan pendanaan awam mungkin berlaku dan wang yang dikumpulkan akhirnya digunakan untuk tujuan lain.

"MPPK juga membantah sebarang usaha mengambil kesempatan bagi kepentingan sesetengah pihak melalui inisiatif ini.

"Sebarang inisiatif yang dilakukan mestilah semata-mata untuk kepentingan mahasiswa," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata penuntut masih dibenarkan untuk mendaftar dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum hadir untuk melakukan pendaftaran, beliau berkata, saringan suhu akan dilaksanakan terhadap penuntut dan terus ke kolej serta mengambil kunci bilik sekiranya tidak bergejala.

"Ibu bapa atau waris pula hanya menurunkan barang penuntut di kawasan ditetapkan dan akan dibawa pemudah cara kolej ke bilik penuntut.

"Ada ibu bapa yang mahukan anak mereka untuk tinggal di kolej kediaman memandangkan suasana di rumah kurang kondusif terutama kemudahan capaian internet dan sebagainya.

"UKM santuni dan tetap menerima pendaftaran mereka dengan baik, selain sedaya upaya akan mengambil alih tanggungjawab menjaga keselamatan penuntut di kampus dan ibu bapa tidak perlu bimbang.

"Pemantauan berterusan dan saringan kesihatan juga kami lakukan dengan teliti," katanya.

Bagi penuntut dari zon merah, Mohd Hamdi berkata mereka akan dirujuk ke pusat kesihatan universiti untuk saringan dan mengenal pasti tahap risiko.

Sekiranya mempunyai risiko tinggi, beliau menjelaskan penuntut berkenaan akan dibawa ke pejabat kesihatan daerah untuk saringan lanjut, manakala mereka yang berisiko rendah diberikan satu kad serta dibenarkan kembali ke kolej kediaman.

"Bagaimanapun mereka ini akan diasingkan penempatannya daripada pelajar lain bagi mengurangkan risiko" katanya.

Berita Harian X