Sabtu, 3 Oktober 2020 | 6:07pm
Segelintir pelajar hadir pada hari pendaftaran kemasukan pelajar ketika tinjauan di Kolej Kediaman Za’ba dan Tunku Kurshiah Universiti Malaya hari ini. - Foto BERNAMA
Segelintir pelajar hadir pada hari pendaftaran kemasukan pelajar ketika tinjauan di Kolej Kediaman Za’ba dan Tunku Kurshiah Universiti Malaya hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih 4,000 pelajar UM mendaftar hari ini

KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 pelajar lama dan baharu Universiti Malaya (UM) membuat pendaftaran hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof Dr Abdul Aziz Abdul Raman, berkata daripada jumlah itu, kira-kira 400 pelajar tampil mendaftar secara bersemuka di kampusnya.

"Kita tidak halau pelajar yang sudah sampai di UM hari ini untuk proses pendaftaran. Mereka boleh terus kekal di kampus atau pulang ke rumah masing-masing.

"Kita tiada halangan seiring situasi penularan COVID-19 terkini. Bagi mereka yang belum memulakan perjalanan, pihak UM nasihatkan mereka kekal di rumah dan membuat pendaftaran secara dalam talian.

"Semua sesi kuliah dan pembelajaran juga akan dibuat menerusi kaedah sama," katanya pada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya memastikan semua kakitangan dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi mengawal penularan COVID-19.

"Kita akan tangguhkan segala aktiviti yang membabitkan peserta yang ramai. Bagaimanapun, kita tidak dapat memantau pergerakan pelajar di luar kampus.

Pelajar baharu menunggu giliran untuk pendaftaran ke kolej kediaman 3,4, 7 dan 8 di Universiti Malaya. - NSTP/Rohanis Shukri
Pelajar baharu menunggu giliran untuk pendaftaran ke kolej kediaman 3,4, 7 dan 8 di Universiti Malaya. - NSTP/Rohanis Shukri

"Pihak UM berharap pelajar sentiasa amalkan SOP walaupun kawasan sekitar universiti itu tidak diklasifikasikan sebagai zon merah.

"Sama-sama kita doakan statistik kes positif COVID-19 kembali menurun dan terkawal," katanya.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaporkan menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus yang dijadual bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad turut dipetik mencadangkan, penangguhan sama membabitkan pelajar dari kawasan yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X