Sabtu, 3 Oktober 2020 | 11:26am
- Foto ihsan Facebook Dato’ Dr. Noraini Ahmad
- Foto ihsan Facebook Dato’ Dr. Noraini Ahmad

IPT wajar bertimbang rasa urus hal kemasukan pelajar - Noraini

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) diharap dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal berhubung kemasukan pelajar ke IPT pada bulan ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata beliau turut memohon maaf terhadap kesulitan dihadapi pelajar dan keluarga dalam isu berkenaan.

Katanya, beliau mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta keluarga berikutan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal, susulan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kes jangkitan virus itu adalah di luar jangka dan sebelum Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan tindakan itu, pihaknya sudah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan wabak itu.

"Sejajar dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT, KPT mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta.

"Cadangan dibuat susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu. Peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, KPT dalam satu kenyataan mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Noraini sekali lagi menegaskan, bagi pelajar yang sudah tiba, mereka boleh terus kekal di kampus dan menunggu arahan seterusnya oleh pihak universiti.

Katanya, bagi pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, mereka diminta supaya menangguhkan seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

"Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini," katanya.

Mutakhir ini, kes COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak, dengan semalam, mencatatkan 287 kes baharu, yang kesemuanya adalah penularan tempatan, angka tertinggi sejak wabak itu melanda negara ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X