Rabu, 30 September 2020 | 7:41pm
Rawatan kumbahan sangat penting dalam isu kebersihan awam dan pemeliharaan alam sekitar. - FOTO Indah Water Konsortium
Rawatan kumbahan sangat penting dalam isu kebersihan awam dan pemeliharaan alam sekitar. - FOTO Indah Water Konsortium

Indah Water komited berkhidmat demi kelestarian alam sekitar

INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bertanggungjawab untuk membangun dan menyelenggara sistem pembetungan yang cekap di Malaysia.

Malah, syarikat pembetungan nasional ini menguruskan sejumlah 5 bilion liter air sisa kumbahan setiap hari, iaitu kira-kira jumlah air di dalam 2,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik!

Sebagai syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, IWK menguruskan sistem pembetungan untuk lebih daripada 26.5 juta orang dengan jumlah saliran paip pembetungan bawah tanah sepanjang 19,134 km.

Kira-kira 7,000 buah loji rawatan kumbahan IWK yang merawat air kumbahan dengan menyingkirkan sisa berbahaya sebelum melepaskannya ke dalam kitaran air, dan proses ini adalah amat penting demi kesihatan awam serta pemeliharaan alam sekitar.

Di samping itu, antara sebab mengapa rawatan air sisa kumbahan penting adalah:

  • Membantu mencegah penyebaran penyakit bawaan air
  • Memulihara alam sekitar khususnya sungai-sungai yang menjadi sumber air negara;
  • Ketika berlakunya musim kemarau atau kekurangan air, air sisa yang terawat boleh diguna semula untuk tujuan bukan minuman seperti pengairan, perindustrian dan landskap;
  • Melindungi air sungai daripada tahap Biochemical Oxygen Demand (BOD) yang tinggi yang boleh mempengaruhi kehidupan akuatik di sungai atau perairan. 

Keperluan menyemak tarif

Realitinya, semua pun tahu betapa penting bagi negara mempunyai sistem pembetungan yang cekap, namun kebanyakan orang ramai lupa ke manakah air sisa kumbahan akan pergi selepas menggunakan tandas atau membasuh barangan keperluan di dapur.

Biarpun "dilupai" dan berhadapan dengan kerja-kerja kotor, sukar dan berbahaya,  IWK tetap komited dalam memastikan loji-loji milik kerajaan diselenggara dengan baik, terutama bagi memastikan kira-kira 26 juta pengguna yang bersambung di loji-loji ini terus mendapat perkhidmatan yang cekap. 

Namun, caj perkhidmatan pembetungan di Malaysia adalah antara caj yang terendah di dunia, berbanding dengan negara-negara membangun lain. Bagi perkhidmatan yang disediakan IWK, bayaran bulanan untuk setiap isi rumah bagi sistem bersambung adalah antara RM2 hingga RM8 sebulan, berbanding kos operasinya yang mencakupi antara RM18 hingga RM20.

Ini bermakna, bagi setiap m3 air sisa yang dirawat oleh IWK, pelanggan hanya membayar kurang daripada RM0.30.

Saban tahun, kos operasi IWK akan terus meningkat ekoran daripada pelbagai faktor khususnya apabila IWK mengambil alih loji-loji rawatan kumbahan awam dan kos elektrik yang turut meningkat. Pada masa yang sama, kos operasi turut meningkat apabila input kerja tinggi di mana rutin harian bagi pemeriksaan kualiti efluen yang dilepaskan hendaklah mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa. 

Malah, jika ada sebarang kerosakkan peralatan atau kemasukan pembuangan sisa haram ke dalam loji IWK akan turut menjejaskan kualiti efluen secara keseluruhannya. Oleh kerana itulah, pekerja IWK akan terus melakukan pemeriksaan menyeluruh secara berterusan.

Pada masa yang sama, IWK juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperbaiki kedudukan kewangannya menerusi perniagaan lain seperti projek menukarkan sisa kepada tenaga (penggunaan semula bio pepejal kepada pengeluaran tenaga diperbaharui), membangunkan perniagaan guna semula air dan pengurusan sistem perangkap lemak, minyak dan gris.

Kerajaan sememangnya, menyalurkan subsidi bagi mengatasi jurang kos yang perlu ditanggung IWK, namun selama manakah IWK perlu bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata. 

Selama manakah IWK terpaksa menanggung ketidakseimbangan caj perkhidmatan yang dibayar pengguna dengan kos operasi sebenar? 

Hakikatnya, loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Jadi, tidak dapat dibayangkan jika loji-loji yang diselenggara IWK ini tidak dapat beroperasi suatu hari nanti ekoran kos yang tidak seimbang ini. 

Malah, dalam keadaan ekonomi yang tidak pasti akibat pandemik COVID-19, IWK terus berada dalam keadaan getir, terutama kerana caj perkhidmatan IWK tidak pernah berubah sejak ditubuhkan. Justeru, IWK sememangnya memerlukan sokongan dan sumbangan daripada pelanggannya demi memastikan syarikat ini dapat terus memelihara alam sekitar untuk kita semua dan generasi akan datang. 

Tidak dapat dinafikan, keperluan menyemak semula caj perkhidmatan IWK untuk menyelaraskan kos operasinya, perlu dibuat supaya syarikat pembetungan nasional ini dapat menampung kelangsungan dan kemampanan mereka.

Dengan penyelarasan tarif IWK, subsidi kerajaan sememangnya boleh disalurkan terus kepada pelanggan kategori B40. Malah, cadangan bagi penyelarasan tarif ini bukan sahaja bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat, tetapi sekali gus dalam memastikan kesihatan awam dan penjagaan alam sekitar terus terpelihara untuk Malaysia.

Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Indah Water Konsortium di sini.

Berita Harian X