Isnin, 28 September 2020 | 6:07pm
Hajiji menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Ihsan Jabatan Penerangan
Hajiji menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Ihsan Jabatan Penerangan

UMNO terima Hajiji Ketua Menteri Sabah baharu - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO menerima keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO menghormati keputusan itu selepas UMNO Sabah bersetuju dalam rundingan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas rundingan dibuat dalam kalangan ADUN GRS yang menang.

"Akhirnya, bersepakat mencalonkan Hajiji demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan selepas diabaikan kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebelum ini.

"Saya hormati keputusan itu atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang dipersetujui bersama.

"Semoga kerajaan baharu dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah seperti termaktub dalam Akujanji GRS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah selepas memenangi 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.

BN dilapor mahukan Bung Moktar yang juga ADUN Lamag mengisi jawatan itu, manakala BERSATU mencalonkan Hajiji yang juga ADUN Sulaman.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam satu kenyataan berpendirian ADUN UMNO wajar dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah kerana ia parti individu memenangi jumlah kerusi DUN terbesar dalam GRS.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan tidak wajar BN menyerahkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada BERSATU kerana gabungan terbabit sudah mengorbankan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak.

Selepas memenangi PRN Sabah dengan 38 kerusi, GRS dikatakan berselisih pendapat berhubung calon bagi jawatan Ketua Menteri.



Berita Harian X