Isnin, 28 September 2020 | 3:28pm
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

PRN Sabah: 'Henti berpolitik, bangunkan negeri' - Bung Moktar

KOTA KINABALU: Semua pihak terutama rakyat Sabah diminta berhenti bermain politik selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah membentuk kerajaan negeri susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kini adalah untuk menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat dan negeri.

Katanya, GRS komited menyegerakan usaha memulihkan Sabah dan memberi perhatian kepada agenda membantu rakyat selepas berjaya mengambil alih kerajaan daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Selesai sahaja majlis Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri mengangkat sumpah esok, kita akan memulakan langkah kita untuk memastikan rakyat di bawah mendapat perhatian daripada kerajaan sedia ada.

"Kita harap rakyat tidak lagi bermain politik kerana kita mahu menumpukan perkara penting membangunkan negeri," katanya pada sidang media mengenai majlis angkat sumpah Ketua Menteri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi badan Perhubungan UMNO Sabah mengulas sokongan sebulat suara terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang dinamakan sebagai Ketua Menteri baharu.

Bung Moktar berkata, GRS bersetuju menyokong Hajiji mengetuai kerajaan baharu Sabah bagi memulihkan semangat rakyat negeri ini selepas kira-kira dua tahun di bawah kerajaan WARISAN.

"Kami membuat persetujuan atas dasar kesedaran dan keyakinan kerajaan baharu yang ditubuhkan itu mampu memulihkan semangat rakyat Sabah yang selama ini hilang disebabkan oleh pemerintahan kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat.

"Memang menjadi tanggungjawab besar untuk membina semula negeri ini tetapi dengan kerjasama semua pihak, kita yakin dapat melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pihaknya menyokong siapa sahaja yang dilantik oleh GRS sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Kita tiada masalah menyokong siapa yang dipilih untuk menjadi Ketua Menteri kerana yang penting kita sudah berjaya membentuk kerajaan negeri," katanya.

Sokongan sama turut disuarakan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) selain menafikan yang parti itu mahu bekerjasama dengan WARISAN selepas khabar angin mengenainya tersebar sejak semalam.

Pemilihan Hajiji sebagai Ketua Menteri dimaklumkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu ketika ditanya mengenai calon Ketua Menteri.

Semua ADUN GRS dijangka hadir pada majlis angkat sumpah Ketua Menteri di Istana Negeri yang dijadualkan jam 10.30 pagi esok



Berita Harian X