Ahad, 27 September 2020 | 1:10pm
KPT saran pelajar dari zon merah mendaftar secara dalam talian. Foto fail NSTP
KPT saran pelajar dari zon merah mendaftar secara dalam talian. Foto fail NSTP

Tangguh pendaftaran bersemuka pelajar dari zon merah

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Pengajiannya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata kementerian mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

"Pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada selepas keadaan (penularan COVID-19) kembali pulih.

"Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan pulang ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPT sebelum ini tidak bercadang menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti atau kolej di seluruh negara, yang dijadualkan bulan hadapan.

Namun sejak beberapa minggu lalu, beberapa kawasan diisytihar sebagai zon merah susulan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 seperti di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Sementara itu, Noraini berkata, bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan mereka ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Beliau turut menasihati pelajar mengamalkan langkah pencegahan COVID-19 ketika berada di kampus masing-masing walaupun semua IPT diarah memastikan aktiviti akademik di kampus mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X