Khamis, 24 September 2020 | 6:08pm
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman. - Foto NSTP/Aswadi Alias

PRN Sabah: PCS perkenal 'Recall Petion' untuk halang lompat parti

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) menekankan keperluan untuk menghapuskan budaya lompat parti bagi mengelak ketidakstabilan politik dan kerajaan berikutan dakwaan terbaru berlaku peralihan kuasa Kerajaan Pusat, semalam.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan, berkata PCS mengambil pendirian tegas dalam perkara itu dengan memperkenalkan 'Recall Petition' sebagai antara akujanji dalam manifesto parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, langkah itu penting bagi menghentikan budaya melompat parti yang sebelum ini sering dikaitkan dengan politik Sabah.

"Hari ini rakyat Malaysia sekali lagi dijamu dengan drama perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin. Macam drama petang waktu Maghrib, kalah siri telenovela.

"Baru saja semalam saya tulis mengenai 'Recall Petition' iaitu Akujanji PCS untuk menghapuskan budaya melompat parti, tengok-tengok hari ini ada lagi isu yang timbul berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan itu berkata budaya politik seumpama itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyebabkan ketidakstabilan politik dan kerajaan, malah meletihkan rakyat.

"Saya ingin tanya tuan-tuan dan puan-puan semua, tak letihkah dengan perkara ini? Cuba lihat di sekeliling kita, apa sebenarnya yang berlaku? Apa sebenarnya yang rakyat hadapi? Ekonomi merudum, rakyat tiada pekerjaan, orang susah memikirkan apalah nasib mereka dari hari ke hari.

"Tapi yang diberi kepercayaan untuk memimpin, asyik main kerusi berirama, berebut kuasa sesama mereka. Kemelut di Sabah juga berlaku disebabkan perkara ini dan yang menjadi mangsa ialah rakyat," katanya.

Katanya, hakikatnya pertumbuhan Sabah terbantut sejak Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkuasa dengan pertumbuhan ekonomi menjunam daripada 8.2 peratus pada 2017 ke 0.5 peratus pada tahun lalu menyebabkan lebih 100,000 anak Sabah menganggur.

Beliau berkata, PCS tidak mahu lagi perebutan kuasa yang menyebabkan Sabah terumbang-ambing, pembangunan tergendala dan rakyat menderita.

"Sebab itu jugalah kami meletakkan calon tiada 'political baggage', tiada sejarah melompat parti yang betul-betul berjuang untuk Sabah dan rakyat. Kita nak menghapuskan budaya politik melompat parti yang menjengkelkan ini. Bila PCS kata nak bawa perubahan, bermakna kita betul-betul nak bawa perubahan, bukan setakat kata-kata kosong saja.

"Rakyat Sabah, saya tahu anda sudah letih dengan perkara ini, saya tahu anda nak perubahan. Inilah peluang kita untuk tunjukkan bahawa sudahlah, cukuplah, usah lagi melompat ke sana sini, bermain-main dengan masa depan rakyat hanya kerana tamakkan kuasa," katanya.

Berita Harian X