Selasa, 22 September 2020 | 6:36pm
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat di majlis Mesyuarat Agung Tri Tahunan ANULAE cawangan Terengganu kali ke 17 di Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu, hari ini.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat di majlis Mesyuarat Agung Tri Tahunan ANULAE cawangan Terengganu kali ke 17 di Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu, hari ini.

Mansuhkan pekeliling kurangkan penjawat awam

PERMAISURI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan memansuhkan segera pekeliling bagi mengurangkan kadar lima peratus penjawat awam setiap tahun.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta 1.62 juta penjawat awam dikekalkan dalam satu ucapannya di Sandakan, Sabah baru-baru ini walaupun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) diperkenalkan.

Katanya, dasar bagi mengurangkan penjawat awam lima peratus setiap tahun itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri.

"Justeru kita mohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan segera dasar diperkenalkan dan dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

"Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mahu mengekalkan 1.62 juta penjawat awam walaupun e-kerajaan dilaksanakan," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tri Tahunan ANULAEcawangan Terengganu kali ke 17 di Sungai Tarom, Permaisuri, Setiu, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda dan dirasmikan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Beliau berkata, e-kerajaan adalah langkah baik diperkenalkan untuk memantapkan sistem penyampaian dari kerajaan kepada rakyat pada masa ini.

"Namun sistem berkenaan tidak boleh mengambil alih sentuhan seorang penjawat awam daripada segi penyampaian secara langsung," katanya.

Selain itu, Adnan berkata, CUEPACS juga memohon gaji minimum perlu ditingkatkan sebaris dengan Pendapatan Garis Kemiskinan negara.

"Kita mohon kerajaan mengambil pendekatan tertentu supaya pendapatan penjawat awam tidak berada di bawah paras kemiskinan," katanya.

Berita Harian X