Khamis, 10 September 2020 | 6:07pm

Sektor pelancongan Melaka tunjuk pemulihan

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan di Melaka mula menunjukkan pemulihan apabila lebih 43,000 bilik hotel ditempah antara Jun hingga Disember ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata tempat pelancongan di negeri itu turut meriah dengan kunjungan pelancong tempatan terutama pada hujung minggu menyaksikan sektor pelancongan ketika ini di tahap amat memuaskan.

Status zon hijau berikutan hampir dua minggu tiada kes baharu COVID-19 antara faktor Melaka menjadi pilihan dan tumpuan warga tempatan untuk dikunjungi.

"Alhamdulillah, saya tidak mengatakan bahawa sektor pelancongan di Melaka kembali ke 100 peratus. Tidak. Sebabnya kita masih lagi dalam pasca COVID-19. Cuma saya nak maklumkan aktiviti-aktiviti pelancongan di Melaka hari ini telah pun mencecahkan tahap yang boleh saya katakan amat memuaskan.

"Saya nak beri contoh salah satu produk pelancongan kita iaitu river cruise. Pada hujung minggu memang semua 60 bot digunakan untuk membawa pelancong menerusi Sungai Melaka. Minggu lalu juga, Zoo Melaka mencatatkan kehadiran lebih 13,000 pelawat pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Banyak lagi tempat pelancongan yang dikunjungi pelancong domestik.

"Antara Jun hingga Disember, jumlah bilik yang telah ditempah lebih 43,000. Semua ini menunjukkan sektor pelancongan di Melaka sudah mula mendapat perhatian dengan kehadiran pelancong," katanya selepas mengadakan lawatan korporat ke Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussain Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris dan Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (empat, kiri), bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan (tiga, kiri) Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid (tiga, kanan), Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood (dua, kiri) Pengarang Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor (dua, kanan) Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris (kiri) Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (tiga, kanan) dan Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, ketika lawatan korporat Ketua Menteri Melaka ke Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Menurut Sulaiman, lawatan delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke NSTP bertujuan mengerat hubungan dan kerjasama dengan media khususnya dalam usaha melonjakkan kembali sektor pelancongan di negeri itu.

Selain itu, katanya beliau juga sempat menyuarakan hasrat kerajaan negeri yang merancang untuk menubuhkan satu wilayah baharu dan berharap dengan pembabitan media dapat bersama-sama menguar-uarkan perancangan sedemikian.

Ditanya impak susulan penularan COVID-19 di Melaka hingga ada hotel terpaksa ditutup, Sulaiman menjelaskan hanya sebuah hotel ditutup tetapi perkara itu memang terdapat dalam perancangan pihaknya dan bukan berpunca dari penularan wabak pandemik itu.

Katanya, cuma terdapat pengurangan pekerja disebabkan penularan COVID-19 namun kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan PERKESO untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas.

"Kebanyakan hotel di Melaka tidak ditutup tetapi pengurangan pekerja itu mungkin. Tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan PERKESO untuk menyediakan peluang pekerjaan.

"Tempoh hari, hampir 1,000 peluang pekerjaan sudah dipenuhi. Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa memikirkan bagaimana kita boleh membantu sama ada yang minat jadi usahawan seperti tanam nanas atau ternak lembu pun kita akan bantu sekadar termampu," katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) diiringi Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris (dua, kiri), ketika lawatan korporat Ketua Menteri Melaka ke Balai Berita NSTP, Bangsar. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan (kiri). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X