Khamis, 3 September 2020 | 4:15pm
Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto BERNAMA

PM komited perangi rasuah - Abu Kassim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin komited dalam usaha pencegahan rasuah dan melaksanakan melaksanakan urus tadbir yang baik.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri kepadanya apabila beliau bertanya mengenai untuk meneruskan reformasi politik di negara ini.

"Saya tanya soalan sama kepada Perdana Menteri, dan beliau berikan jawapan yang jelas "Abu, ya saya mempercayainya dan saya mahu terus menentang rasuah."

"Pun begitu, melawan rasuah di negara ini bukan hanya tanggungjawab Perdana Menteri semata-mata. Anggota Kabinet juga perlu terbabit dalam perkara ini dan sektor swasta, awam dan semua sektor dalam masyarakat perlu bersama-sama dalam usaha ini.

"Saya berpendapat, jika kita mahu melihat perubahan yang besar, saya berharap, saya percaya kepada kepemimpinan ketika ini... Saya berharap keseluruhan anggota Kabinet akan bekerjasama dengan Perdana Menteri," katanya pada sesi perbincangan bertajuk Sekuat mana hubungan antara Kerajaan dan Syarikat Besar? Pada Forum Anti Rasuah Malaysia ke-dua, di sini, hari ini.

Selain Abu Kasim, Pengerusi Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM), Haridas S Krishnan Nair dan Ketua Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Zakiah Hassan turut menjadi panel.

Abu Kassim berkata, ketika diminta menerajui GIACC ketika pentadbiran sebelum ini, beliau yakin bahawa jika negara ini mahu menjalani reformasi, perlu ada reformasi politik.

Beliau berkata, untuk itu beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk semua pemimpin politik dalam kerajaan mengisytiharkan aset mereka, selain menggubal undang-undang membabitkan dana politik.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan terdahulu juga mengamalkan tiada ahli politik aktif dilantik menerajui mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP).

"Saya maklumkan pendapat ini kepada Perdana Menteri, bahawa sesiapa yang dilantik menerajui GLC perlulah seorang profesional dan berintegriti, antara elemen yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Berita Harian X