Selasa, 1 September 2020 | 12:38pm
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kiri) bersama Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (dua dari kiri) hadir dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sambutan Merdeka dalam norma baharu di Negeri Sembilan tetap meriah

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat Negeri Sembilan dalam norma baharu diadakan secara tertutup di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pagi semalam, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kira-kira 250 orang yang hadir terdiri daripada jemputan khas membabitkan barisan EXCO kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan, wakil petugas barisan hadapan antaranya polis, tentera, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pos Malaysia.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

Selain itu, yang turut hadir termasuk Datuk Syahbandar, Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta pegawai kerajaan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hadir pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.40 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik.

Majlis bermula dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku oleh pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) dan Pasukan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi.

Turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara diketuai Menteri Besar manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) mengetuai bacaan ikrar dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tiada perarakan seperti lazimnya diadakan pada sambutan kali ini.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita berharap agar semua rakyat mengambil semangat Hari Kebangsaan ini dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan mematuhi SOP ditetapkan.

"Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama kuat semangat dalam menghadapi COVID-19 ini. Disamping kesejahteraan negara dan kemakmuran dinikmati hari ini, kita berdoa agar negeri ini lebih awal bebas daripada COVID-19," katanya.

Aminuddin dalam hantaran terbaru di Facebook berkata, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin menghargai dan mengangkat peranan semua pihak tanpa mengira kaum serta fahaman politik terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.

Beliau berkata keprihatinan sebenar yang ditunjukkan rakyat Malaysia adalah dengan memastikan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran dapat dipertahan di bumi tercinta ini.

Tambahnya adalah diharapkan agar sikap keprihatinan ini dapat diterapkan dalam diri kita. Saya yakin selagi sikap prihatin ini ada bersama kita, tidak kira apa saja perbezaan, percanggahan dan rasa sangsi yang timbul, Malaysia akan tetap utuh dan cemerlang.

Berita Harian X