Isnin, 31 Ogos 2020 | 1:27pm

Waktu operasi kaunter setempat LHDN seperti biasa esok

PUTRAJAYA: Waktu operasi perkhidmatan percukaian bagi kaunter setempat dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) di semua premis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kembali beroperasi seperti biasa mulai esok.

Menurut kenyataan LHDN hari ini, waktu operasi perkhidmatan percukaian bagi kaunter setempat di semua cawangan LHDN di seluruh negara kecuali Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang.

Bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pula, waktu operasi perkhidmatan percukaian bagi kaunter setempat ialah dari 8 pagi hingga 5 petang bagi setiap Ahad hingga Rabu, dan dari 8 pagi hingga 3.30 petang bagi setiap hari Khamis.

"Waktu operasi bagi PKH untuk perkhidmatan duti setem dan nasihat umum percukaian di negeri selain Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor ialah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang.

"Di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pula, bagi PKH yang menawarkan perkhidmatan duti setem akan beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dari 8 pagi hingga 5 petang, dan bagi perkhidmatan jenis nasihat umum percukaian pula, kaunter akan dibuka setiap Ahad hingga Rabu dari 8 pagi hingga 5 petang dan pada hari Khamis pula dari 8 pagi hingga 3.30 petang," katanya.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan melalui Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara). – BERNAMA

Berita Harian X