Khamis, 27 Ogos 2020 | 12:06pm
Syed Zainal Abidin (tengah) bersama Mohd Azraai dan Mohd Hafiz (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Khas Siri UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, semalam. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Syed Zainal Abidin (tengah) bersama Mohd Azraai dan Mohd Hafiz (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Khas Siri UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, semalam. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

UiTM sasar RM15j hasil bida plat kenderaan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mensasarkan RM15 juta kutipan menerusi UITMBida, platform sistem bidaan dalam talian bagi penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan siri 'UITM' yang dilancarkan, semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata tujuan utama pelaksanaan UITMBida adalah untuk mengumpul dana untuk mengukuhkan kewangan universiti.

Katanya, ekoran universiti tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada dana atau geran kerajaan, pelbagai rancangan dilaksanakan oleh universiti itu untuk menambah sumber kewangan termasuk UITMBida.

Beliau menambah, ia juga adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif yang sedang giat dijalankan di bawah Perancangan Strategik UiTM2025 untuk menggalakkan penjanaan pendapatan universiti.

"UITMBida ini unik kerana kita maklum bahawa UiTM mempunyai rangkaian alumni yang besar, iaitu melebihi 800,000 orang dan kita berharap ia mendapat sambutan baik daripada alumni serta warga UiTM sedia ada.

"Berdasarkan kajian dalaman, ramai teruja dengan program ini dan kita mensasarkan RM15 juta kutipan menerusi penjualan nombor pendaftaran khas siri UiTM ini.

"Kutipan yang diperoleh akan disalurkan kepada Tabung Endowmen UiTM yang akan digunakan untuk pemberian biasiswa kepada pelajar, penyelidikan serta pembangunan infrastruktur universiti," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Khas Siri UiTM, di Dewan Agung Tuanku Canselor, semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim dan Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Mohd Hafiz Shamsani Othman.

Syed Zainal Abidin berkata, terdapat bidaan minimum bagi setiap kategori dan pembida tertinggi akan mendapat nombor yang mereka inginkan.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata universiti mendapat kelulusan penggunaan nombor pendaftaran khas kenderaan siri 'UITM' daripada JPJ pada Disember 2019.

"Semua warga UiTM, alumni dan orang awam boleh mendapatkan nombor pendaftaran khas dengan jumlah minimum sebanyak RM500 menerusi sistem bidaan yang bermula hari ini (semalam).

"Pemilikan nombor pendaftaran khas ini menjadi satu nilai atau simbolik kepada warganya termasuk alumni," katanya.

Beliau berkata, UiTM kini mempunyai dana RM72 juta dalam Tabung Endowmen dan tambahan RM15 juta yang dijangka diperoleh menerusi UITMBida diharapkan dapat membantu lebih ramai pelajar terutama dalam pemberian biasiswa.

INFO: UITMBida

• UITMBida bertujuan mengumpul dana untuk mengukuhkan kewangan Uitm.

• Ia juga sebahagian daripada beberapa inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM2025.

• Bidaan minimum bermula daripada RM500 dan nombor pendaftaran khas ini bermula dengan abjad 'UITM' diikuti rangkaian nombor pilihan.

• Semua pihak yang berminat termasuk orang awam boleh membida nombor khas bermula daripada 10 hingga 9999 di https://uitmbida.uitm.edu.my/.

Berita Harian X