Khamis, 20 Ogos 2020 | 8:29pm
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon (tiga dari kanan) berbual bersama kepimpinan baharu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) selepas mesyuarat agung penubuhan organisasi itu. - NSTP/Nur Izzati Mohamad
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon (tiga dari kanan) berbual bersama kepimpinan baharu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) selepas mesyuarat agung penubuhan organisasi itu. - NSTP/Nur Izzati Mohamad

Majoriti perniagaan kecil tak mampu bertahan lebih 2 bulan akibat COVID-19

KEPALA BATAS: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan 960,000 yang berdaftar dengan SME Corp terjejas susulan wabak COVID-19 dan tak akan mampu bertahan lebih dua bulan tanpa bantuan kerajaan.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, berkata daripada jumlah 450,000 itu pula, 70 peratus usahawan terbabit boleh dikategorikan sebagai usahawan Melayu yang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan.

"Daripada statistik yang kami ada, majoriti daripada usahawan SME (PKS) ini tidak boleh bertahan melebihi dua bulan (sejak PKP bermula) dan sekarang sudah masuk bulan kelima namun dengan pelbagai bantuan kerajaan mereka dapat meneruskan perniagaan.

"DPMM sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan bagi membantu usahawan ini untuk terus bertahan termasuk pelan-pelan pemulihan yang dirangka khusus untuk mereka," katanya selepas Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Pulau Pinang (DPMMPP) hari ini.

DPMMPP ditubuhkan semula di bawah kepimpinan baharu selepas dibubarkan pada 26 Februari lalu.

Jelasnya, dengan bantuan kerajaan sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada usahawan kecil untuk meneruskan perniagaan dalam keadaan tekanan ekonomi yang sangat mencabar.

Dalam pada itu, Norsyahrin berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung urusan penstrukturan atau pembiayaan semula pinjaman selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September ini.

DPMM juga katanya, akan berbincang bagi memastikan semua rekod peminjam bermasalah akibat kesan pandemik COVID-19 tidak dimasukkan ke dalam sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

"BNM secara umumnya telah bersetuju untuk membantu selepas 30 September ini dan bersetuju moratorium itu dilanjutkan, namun secara bersasar iaitu bukan semua akan mendapatnya tapi kami berharap peluang sama dapat diberikan kepada usahawan bagi meringankan beban mereka yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Tempoh lanjutan moratorium berkenaan penting untuk mereka memulihkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan mereka. Pada masa yang sama DPMM juga berharap agar Bank Negara tidak mengambil kira rekod laporan CCRIS dan CTOS kerana ia berlaku bukanlah disebabkan kecuaian manusia," katanya.

Norsyahrin turut menyarankan supaya peminjam dalam kalangan usahawan yang berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) diberi 'bantuan' sama iaitu tidak disenaraihitamkan.

Beliau khuatir peminjam akan menghadapi masalah membuat pinjaman pemulihan perniagaan pada masa hadapan terutama membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) jika mereka disenarai hitam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X