Isnin, 17 Ogos 2020 | 4:21pm
Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman. - Foto fail NSTP
Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman. - Foto fail NSTP

Dr Mohd Roslan dilantik Naib Canselor UPM

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melantik Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu, berkuatkuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata Dr Mohd Roslan 51, berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari UPM pada 1994 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland, United Kingdom pada 1999.

Beliau berkata, Dr Mohd Roslan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM selama hampir tiga tahun, selain pernah menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

Katanya, Dr Mohd Roslan dipertanggungjawabkan menjalankan fungsi tugas Naib Canselor UPM sejak 1 Julai lalu.

"Selain itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan dalam pentadbiran dan akademik termasuk Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

"Berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan hal ehwal pelajar, saya yakin beliau mampu mengalas tugas diamanahkan itu bagi memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan dengan objektif utama ke arah memperkasakan budaya kesukarelawanan, aspek kepemimpinan dan kemahiran insaniah pelajar.

"Saya percaya dengan pelantikan ini, Dr Mohd Roslan dapat meneruskan kesinambungan dalam mengekalkan kegemilangan UPM, seterusnya mengembalikan bidang pertanian berteknologi tinggi sebagai bidang tujahan utama," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Berita Harian X