X
Rabu, 5 Ogos 2020 | 5:57pm
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz. - Foto NSTP
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz. - Foto NSTP

ABIM bantah teruskan Program Dwibahasa

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah hasrat kerajaan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) dengan menyifatkan ia langkah ke belakang, sekali gus akan menghalang daripada melahirkan rakyat berilmu dan mahir berbahasa Inggeris.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata langkah diperkenalkan kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan bahasa Inggeris menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan DLP umpama memberikan ubat salah kepada penyakit dihidapi.

"Pelaksanaan DLP bukan saja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, malah membawa kesan lebih teruk apabila pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep Sains dan Matematik yang diajarkan.

"Justeru, kami menggesa kerajaan mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan merugikan masa depan anak serta negara. Polisi berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal, bukannya persepsi.

"Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan ia penganiayaan terhadap pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mahu meneruskan DLP dengan memberi kebenaran kepada sekolah memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi pada masa sama tidak berhasrat memperkenalkan semula dasar PPSMI.

Muhammad Faisal berkata, pihaknya melihat senario itu sebagai manifestasi kepincangan yang berlaku dalam program DLP hingga melahirkan keresahan pencinta bahasa, ibu bapa dan guru terhadap pendidikan bahasa ibunda.

PPSMI diluluskan pada Julai 2002 dan mula dilaksanakan pada 2003, sebelum dimansuhkan pada 2012. Kerajaan kemudian memperkenalkan DLP dengan 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dalam program itu sehingga November 2018.

"Justeru, ABIM menggesa KPM kembali fokus kepada usaha mengukuhkan bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya, hasil ujian antarabangsa, iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) 2007 dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 ketika pelaksanaan PPSMI menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMSS 1999 & 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Keadaan bertambah teruk apabila hanya 40 peratus pelajar aliran STEM melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains dan berkaitan, termasuk kursus dalam bidang teknologi serta vokasional.

Sehubungan itu, ABIM menggesa kerajaan menarik semula program DLP di sekolah kerana ia menyebabkan wujud perbezaan 'darjat' ketara khususnya bagi penduduk di bandar dan luar bandar hingga akhirnya mewujudkan dua aliran, iaitu aliran Melayu dan Inggeris.

"Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan sama.

"Menambah kerumitan, apabila ia menyusahkan bahagian pertukaran guru, apabila guru yang boleh mengajar dalam bahasa Inggeris terpaksa ditukar ke sekolah melaksanakan DLP," katanya.

Katanya, ABIM dan pejuang bahasa kebangsaan tidak antibahasa Inggeris yang sebenarnya boleh dipelajari dengan fasih apa jua bahasa demi kemajuan anak bangsa dan tingkatkan penguasaan bahasa itu dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris.

"Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Ilmu lebih mudah disampaikan dalam bahasa difahami, iaitu bahasa kebangsaan," katanya.

Berita Harian X