Isnin, 3 Ogos 2020 | 3:42pm

Isu ratifikasi CPTPP hangatkan sidang Dewan

KUALA LUMPUR: Pertikaian sama ada kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau sebaliknya, menghangatkan sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Pertikaman lidah tercetus ketika Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyentuh isu berkenaan ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), hari ini.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bangun mencelah dan mempertikaikan kenyataan Mohamed Azmin bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bersetuju supaya Malaysia meratifikasi CPTPP.

"Kabinet dulu tidak setuju meratifikasi kerana tidak setuju campur tangan luar ke dalam urusan dan perdagangan di Malaysia.

"Jadi tidak betul jika Menteri kata kerajaan dahulu setuju untuk meratifikasi. Itu tidak betul, malah (Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika itu) tidak setuju dan direstui oleh Kabinet," katanya.

Mohamed Azmin kemudian menjelaskan ia pernah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu pada 5 September 2018.

"Saya ingin menegaskan kepada Bagan (Guan Eng) sebagai Menteri Kabinet ketika itu, minit mesyuarat Kabinet mengesahkan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 bersetuju untuk meratifikasi perjanjian berkenaan," katanya.

Jawapan Azmin itu membuatkan Guan Eng bangun semula dan meminta menteri merujuk kepada keputusan kerajaan PH pada 2019.

"Kalau tidak benar tolong rujuk kepada bekas menteri MITI yang mana beliau telah membawa perkara ini dan ia tidak dipersetujui," katanya.

Mohamed Azmin kemudian menyatakan beliau tidak mahu memutar belit fakta dan apa yang dijelaskan adalah berdasarkan data dan maklumat yang diberikan.

"Saya tidak mahu putar belit. Kalau benar Bagan (Guan Eng) berminat untuk menyertai perbincangan CPTPP, Yang Berhormat harus menimbulkan dalam perbahasan, Yang Berhormat tidak terbabit dalam perkara ini," katanya.

Terdahulu Mohamed Azmin berkata, MITI bersama Jabatan Peguam Negara dan kementerian berkaitan sedang menjalankan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi meratifikasi CPTPP.

Katanya, persetujuan pada 5 September 2018 tidak menetapkan sebarang tempoh untuk proses domestik dimuktamadkan bagi meratifikasi perjanjian berkenaan.

"Justeru, kerajaan perlu memastikan keputusan berkaitan CPTPP perlu mengimbangi keperluan dan kepentingan negara, industri tempatan dengan pelabur asing," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka dapat ditandatangani oleh negara anggota termasuk Malaysia pada November ini,

Beliau berkata, kalangan Menteri Perdagangan dan Industri negara peserta RCEP sepakat untuk memeterainya menerusi keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Maya Peringkat Menteri Antara Sesi RCEP ke-10 pada 23 Jun lalu.

Katanya, RCEP bakal menjadi perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dan meliputi hampir separuh penduduk dunia selain menyumbang kepada satu pertiga jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

"Malaysia juga mengakui penyertaan India akan menyumbang kepada kemakmuran perdagangan serantau.

"Justeru itu, Malaysia berpendirian terbuka sekiranya India mengambil keputusan untuk kembali ke meja rundingan," katanya.

India bertindak menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu atas alasan bimbangkan kesepakatan itu mungkin menjejaskan industri domestiknya.

Berita Harian X