Khamis, 30 Julai 2020 | 6:28pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Permohonan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA kini dibuka

KUALA LUMPUR: Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion kini dibuka untuk permohonan, demikian kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pelaksanaan skim itu adalah inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro tempatan memulihkan sektor pelancongan yang terjejas berikutan penularan COVID-19 .

Katanya, ia juga bertujuan bagi mengekalkan keupayaan PKS dan perusahaan mikro tempatan serta membantu mereka membuat penyesuaian dan meningkatkan daya saing selepas negara pulih daripada COVID-19.

"PKS dan perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corp Malaysia atau yang dilesenkan oleh/didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Nancy berkata, sektor pelancongan teras ialah premis penginapan pelancongan seperti hotel bajet, inap desa berdaftar, chalet dan rumah peranginan; agensi pelancongan dan pengusaha pelancongan dan pengangkutan untuk pelancong seperti pengusaha bas, bot dan kereta sewa.

Beliau berkata, sektor berkaitan pelancongan pula ialah pelancongan perubatan; ekosistem Mesyuarat, Insentif, Persidangan, Pameran (MICE); perniagaan pertukaran wang untuk pengendali pertukaran wang yang berurusan dengan pelancong ke dalam dan ke luar negeri; perniagaan runcit, rekreasi dan kesihatan berkaitan pelancongan yang boleh membuktikan kebergantungan mereka yang besar terhadap pelancong.

"Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada perusahaan mikro dan sehingga RM300,000 kepada PKS pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan tidak melebihi tujuh tahun.

"Melalui skim itu juga, PKS dan perusahaan mikro diberi tempoh tangguh pembayaran balik minimum enam bulan bagi membantu aliran tunai perusahaan berkenaan," katanya.

Sebanyak 12 institusi kewangan akan terbabit dalam skim pembiayaan berkenaan iaitu Affin Bank Bhd/Affin Islamic Bank Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd/Alliance Islamic Bank Bhd; AmBank (M) Bhd/AmBank Islamic Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; Bank Muamalat Malaysia Bhd; Bank Simpanan Nasional; CIMB Bank Bhd/CIMB Islamic Bank Bhd; Hong Leong Bank Bhd/Hong Leong Islamic Bank Bhd;

Maybank Islamic Bhd; Public Bank Bhd/Public Islamic Bank Bhd; RHB Bank Bhd/RHB Islamic Bhd dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

PKS dan perusahaan mikro yang berminat mendapatkan pembiayaan itu menghubungi institusi kewangan berkenaan untuk memastikan kelayakan mereka bagi mendapatkan pembiayaan itu dan kelulusan permohonan tertakluk kepada penilaian institusi kewangan berkenaan.

Butiran terperinci mengenai skim itu boleh didapati melalui laman web PENJANA https://penjana.treasury.gov.my/

Berita Harian X