Rabu, 22 Julai 2020 | 1:37pm

MOSTI perkukuh kerjasama awam-swasta tingkat permintaan graduan STEM

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengukuhkan perkongsian sektor awam-swasta bagi meningkatkan permintaan graduan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata antara program yang akan dilaksanakan melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 itu termasuk program pembiayaan seperti tajaan biasiswa dan latihan industri serta perantis dengan industri untuk pelajar STEM yang berpotensi.

Beliau menjelaskan, masalah yang dihadapi untuk menarik golongan muda dalam bidang STEM adalah tanggapan dan realiti dalam kalangan golongan itu yang risau bahawa mereka tidak akan mendapat pekerjaan setimpal dengan kelayakan mereka, selain dari segi gaji pemula yang ditawarkan kepada graduan STEM agak rendah.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang bertanya mengenai langkah lebih efektif dilaksanakan kementerian bagi menarik minat golongan muda dalam bidang STEM selari dengan DSTIN.

Khairy berkata, ketika ini, syarikat yang mendapat pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MOSTI atau agensinya wajib menyediakan ruang pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik atau Pembantu Penyelidik bagi menyiapkan projek R&D yang dibiayai.

"Selain itu, kita juga akan terus mengukuhkan mekanisme menyokong keusahawanan-tekno dengan menggalakkan pembabitan graduan STEM dalam keusahawanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran pekerjaan.

"Kita juga mewujudkan pendekatan bersepadu dalam pemetaan kerjaya STEM yang bukan saja melihat pemetaan bidang pendidikan dengan pekerjaan, malah melihat pekerjaan yang berpotensi wujud dalam bidang STEM di masa hadapan," katanya.

Khairy memaklumkan, kementerian juga akan menambah baik laluan kerjaya dan imbuhan untuk menjadikan STEM sebagai kerjaya pilihan utama dan menarik bakat yang unggul melalui penggubalan dasar berkaitan penetapan gaji wajar bagi pekerjaan berkaitan STEM.

"Pada masa ini, gaji pemula yang ditawarkan adalah terlalu rendah antara RM1,500 dan RM2,000, berbanding kemahiran yang dimiliki.

"MOSTI akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perangkaan bagi menjalankan kajian mengenai penambahbaikan skim gaji graduan STEM yang berkhidmat di sektor awam atau swasta," katanya.

Menjawab soalan tambahan Che Alias mengenai perancangan kementerian dalam mengetengahkan bidang khusus di bawah STEM yang menjadi keutamaan jangka masa dan panjang, sama ada dari segi pendidikan, peluang pekerjaan serta ekonomi, Khairy berkata, MOSTI sudah menyediakan rangka kerja sains, teknologi, inovasi dan ekonomi yang dipersetujui Majlis Sains Negara pada 14 Julai lalu.

Katanya, rangka kerja itu menggariskan 10 pemacu sains dan teknologi serta 10 pemacu sosio ekonomi, antaranya teknologi 5G dan 6G, pencetakan empat dimensi (4D) dan 5D, teknologi sensor dan biosains.

"Sebanyak 30 bidang keutamaan dikenal pasti bagi membentuk satu ekosistem saling melengkapi, termasuk dari segi pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika.- Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika.- Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X