X
Isnin, 20 Julai 2020 | 7:43pm
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Nor’Afiza Saim. - Fail NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Nor’Afiza Saim. - Fail NSTP

'Ambil tindakan tanpa belas kasihan'

KUALA LUMPUR: Hukuman atau tindakan yang dikenakan ke atas pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku atau kecuaian tidak seharusnya mempunyai unsur belas kasihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Nor'Afiza Saim, menyifatkan mana-mana pegawai kerajaan yang terbabit dalam salah laku berisiko menjadi 'racun' yang boleh merosakkan seluruh organisasi jika tidak dibendung.

Katanya, hukuman mengikut tatacara pengurusan tatatertib yang ditetapkan adalah prosedur komprehensif dan lengkap, sekali gus tidak memerlukan unsur belas kasihan untuk 'menyelamatkan' mereka daripada dikenakan tindakan tegas.

"Jika ada penjawat awam yang membuat salah laku, kita kena ikut prosedur yang komprehensif.

"Kenapa harus beri belas kasihan tambahan sedangkan dalam prosedur itu sudah ada belas kasihan.

"Kita terlalu berlembut dengan belas kasihan sehingga tidak mengambil tindakan sepatutnya mengikut prosedur termasuk buang kerja atau turun pangkat. Kenapa kita tak ikut, tak perlu belas kasihan tambahan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas amaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, bahawa tindakan tegas dan serius akan diambil terhadap pegawai kerajaan yang didapati melakukan salah laku atau kecuaian.

Nor'Afiza berkata, pihaknya menyifatkan amaran itu sebagai perkembangan baik buat penjawat awam meningkatkan tahap kebertanggungjawab mereka.

Katanya, INTEGRITI sendiri akan bergerak lebih agresif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan sektor kerajaan dan swasta melalui tujuh produk dan perkhidmatan, termasuk pembangunan pelan antirasuah organisasi, pengurusan risiko rasuah dan sistem pengurusan antirasuah.

"Kita sangat bersetuju dan menyambut baik tindakan meningkatkan integriti penjawat awam dalam menjalankan tugasan, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua pekeliling kerajaan sedia ada sepenuhnya.

"Ketua jabatan, ketua bahagian, ketua unit dan lain-lain, perlu tegas dan menjadi contoh pegawai di bawahnya dengan mempraktikkan amalan integriti yang tinggi. Ketegasan adalah perlu dalam menjalankan tugas, " katanya.

Beliau berkata, INTEGRITI sudah membantu lebih 100 organisasi dalam meningkatkan tahap integriti, sekali gus mencegah salah laku atau rasuah.

Katanya, ia selari dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diteruskan kerajaan dalam usaha membendung rasuah.

"Dalam hal ini, agensi penguatkuasaan adalah penjawat awam paling penting harus bertunjangkan integriti kerana sikap tidak amanah boleh menyebabkan ketirisan hasil negara, " katanya.

Berita Harian X