Ahad, 19 Julai 2020 | 4:39pm
Anggota Skuadron Ke-7 Rejimen Askar Jurutera Diraja memasang kawat duri bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan antara sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Benteng COVID-19 di Pangkalan Haram Pok Nik, Jeram Perdah, Pasir Mas, Kelantan. - Foto fail BERNAMA

78 ingkar arahan PKP ditahan semalam

PUTRAJAYA: Polis menahan 78 individu semalam selepas mereka didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 42 daripada mereka dikompaun, seorang direman manakala 35 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diterajui polis membuat 64,303 pemeriksaan semalam, memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,774 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 12,360 anggota membuat pemantauan di 3,919 pasar raya, 5,541 restoran serta 1,658 penjaja, 1,178 kilang, 3,790 bank dan 636 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau ialah 1,497 terminal pengangkutan darat, 360 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara," katanya.

Polis juga katanya, menahan 14 warga asing atas kesalahan imigresen, semalam.

Sebanyak 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng diadakan di seluruh negara yang mana 40,495 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutama di lorong tikus.

Berita Harian X