Jumaat, 17 Julai 2020 | 5:59pm
Kerajaan wajar mewujudkan peluang saksama kepada pegawai perubatan di negara ini untuk menimba pengalaman dan melanjutkan pengajian ke bidang kepakaran tertentu. - Foto hiasan
Kerajaan wajar mewujudkan peluang saksama kepada pegawai perubatan di negara ini untuk menimba pengalaman dan melanjutkan pengajian ke bidang kepakaran tertentu. - Foto hiasan

'Beri peluang saksama jadi doktor pakar'

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mewujudkan peluang saksama kepada pegawai perubatan di negara ini untuk menimba pengalaman dan melanjutkan pengajian ke bidang kepakaran tertentu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata langkah itu selari unjuran kerajaan melahirkan 13,000 pakar dalam bidang berkaitan menjelang penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia hanya mempunyai 8,000 pakar setakat ini di sektor swasta dan hospital awam.

"MMA kesal dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi jawapan bertulis di Parlimen bahawa pegawai perubatan kontrak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat pakar harus menanggung sendiri kos pengajian.

"Walaupun mana-mana pegawai perubatan menamatkan pengajian di luar negara, mereka tidak ditawarkan sebarang peluang pekerjaan di sektor awam kerana proses pengambilan dibekukan sejak 2015.

"Oleh itu, peluang mereka kembali berkhidmat di sektor awam yang secara lazimnya mempunyai bilangan pesakit mencukupi untuk keperluan tenaga pakar adalah amat tipis.

"Sebenarnya, latihan untuk menjadi doktor pakar di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sistem hospital diterajui Kementerian Kesihatan (KKM) dan platform ditawarkan universiti berkaitan.

"Sektor swasta tidak mempunyai bilangan pesakit mencukupi atau kes yang berkaitan dengan latihan sebagai doktor pakar, selain wujud isu pilihan dan hak pesakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham menerusi jawapan bertulis bertarikh 13 Julai lalu dilaporkan berkata, seramai 23,928 pegawai perubatan tetap yang berkhidmat di sektor awam tidak melanjutkan pengajian ke bidang kepakaran berkaitan.

Setakat 31 Mac lalu, Malaysia mempunyai 5,322 doktor pakar di seluruh negara, iaitu peningkatan 797 orang atau 15 peratus, berbanding 4,525 doktor pakar setakat 31 Disember 2016.

Walaupun pegawai perubatan kontrak tidak layak ditawarkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), mereka dicadang melanjutkan pengajian ke peringkat pakar di luar negara menggunakan peruntukan kewangan sendiri atau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan tajaan pihak ketiga.

Dr Ganabaskaran berkata, Malaysia bakal kehilangan tenaga pakar sekiranya isu untuk berkhidmat di sektor awam dan peluang melanjutkan pengajian tidak ditawarkan secara saksama.

"Latihan menjadi doktor pakar memerlukan pengorbanan, bukan sekadar demi kepentingan diri sendiri, sebaliknya bagi meningkatkan kemampuan untuk merawat penyakit yang lebih rumit.

"MMA baru-baru ini ada mengadakan pertemuan dengan KKM dan bakal membentangkan kertas cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai langkah memperuntukkan peluang kepada pegawai perubatan kontrak melanjutkan pengajian ke peringkat pakar," katanya.

Berita Harian X