Ahad, 12 Julai 2020 | 5:45pm
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas menghadiri majlis Taklimat Ahli Parlimen Pra Persidangan Dewan Rakyat di Saujana, Subang. - Foto Hairul Anuar Rahim
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas menghadiri majlis Taklimat Ahli Parlimen Pra Persidangan Dewan Rakyat di Saujana, Subang. - Foto Hairul Anuar Rahim

PH bantah tukar Speaker Dewan Rakyat

SUBANG: Blok pembangkang sebulat suara membantah usul penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya seperti dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan tindakan menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya tidak pernah diamalkan sebelum ini.

"Ini soal prinsip dan belum pernah lagi dalam sejarah berlaku (pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya). Lantikan hanya akan berlaku sekiranya ada kekosongan.

"Saya harap majoriti Ahli Parlimen akan menerima ketetapan PH dan mempertahankan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya yang sedia ada.

"Prestasi mereka (Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya) baik serta saya yakin Ahli Parlimen akan membuat keputusan bijak," katanya pada sidang media selepas Taklimat Ahli Parlimen Pra Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin mengetengahkan usul untuk menamatkan khidmat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff dilaporkan mengesahkan menerima usul mencadangkan khidmatnya bersama Kor Ming ditamatkan, selari Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri dan diserahkan kepada Dewan Rakyat, pada 26 Jun lalu.

Ditanya hubungan antara Anwar dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjejaskan usaha menolak usul berkenaan, Presiden PKR itu bagaimanapun menjelaskan tiada isu peribadi dikaitkan dengan bantahan terhadap cadangan terbabit.

"Kita ada bermesyuarat mengenai usul ini secara tak formal bersama gabungan diketuai Mahathir dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Mereka akan bersama PH menolak usul dicadangkan Perdana Menteri, walaupun ia dicadangan PH.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan menerima sokongan 108 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang untuk membantah usul berkenaan.

"Kita mendapat sokongan 91 Ahli Parlimen PH dan 17 Ahli Parlimen lain masing-masing daripada WARISAN, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas," katanya.

Berita Harian X