Rabu, 8 Julai 2020 | 4:49pm
Gambar fail. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad umumkan IPT diberi fleksibiliti menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian selepas kerajaan membenarkan pembukaan IPT secara berperingkat mulai bulan ini hingga Oktober ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar fail. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad umumkan IPT diberi fleksibiliti menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian selepas kerajaan membenarkan pembukaan IPT secara berperingkat mulai bulan ini hingga Oktober ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

IPT diberi fleksbiliti tentukan mod pembelajaran

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian selepas kerajaan membenarkan pembukaan IPT secara berperingkat mulai bulan ini hingga Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata ini termasuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian kepada pelajar yang terbabit mengikut keperluan program masing-masing.

"Bagi memastikan keputusan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, IPT dan pelajar diminta membuat persediaan yang diperlukan mulai sekarang.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan dan persediaan yang diperlukan.

"Bagaimanapun, pihak KPT dan IPT prihatin mengenai beberapa masalah yang mungkin terpaksa dihadapi oleh sebahagian pelajar, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, hari ini.

Justeru, Noraini, berkata, semua usaha dan langkah yang diperlukan sedang diambil bagi menangani isu berkenaan dan pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar IPT masing-masing.

Berita Harian X