Rabu, 1 Julai 2020 | 3:45pm

Menteri Pengajian Tinggi akan umum tarikh pembukaan IPT

PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudah meneliti pembentangan Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) serta prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembentangan itu sudah dipersetujui jemaah menteri.

"Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad akan mengumumkan SOP terperinci serta pembukaan tarikh pembukaan IPT nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, difahamkan kira-kira 86,500 penuntut IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti terkandas di kampus masing-masing.

Namun, pada 24 April lalu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk di Sabah dan Sarawak secara berperingkat.

Katanya, penghantaran pulang itu membabitkan kira-kira 85 peratus atau 53,000 pelajar dan hanya membabitkan kepulangan ke kawasan zon hijau dengan perjalanan dibuat dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar pada waktu siang.

Penghantaran pulang itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, membabitkan penuntut yang tinggal di kolej dan kampus kediaman serta yang duduk menyewa di luar kampus dengan kos penghantaran ditanggung oleh kerajaan.

Pelajar juga akan menjalani saringan gejala COVID-19 walaupun sudah lebih sebulan berada di kampus sebelum menaiki bas walaupun tiada gejala dan mereka akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka. Mereka akan diambil dari kampus dengan bas dan terus dibawa ke daerah masing-masing serta dihantar ke balai polis atau pejabat daerah sebelum barisan hadapan di sana menghantar mereka terus ke rumah.

Pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja.

"Bagi pelajar yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak, penerbangan akan diseliakan dan pendaratan akan dibuat ke lapangan terbang terdekat dengan kawasan tempat tinggal mereka," katanya Ismail Sabri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang dilaksanakan sehingga 31 Ogos di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang dilaksanakan sehingga 31 Ogos di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X