Isnin, 29 Jun 2020 | 1:19pm
Penduduk menjalankan aktiviti menanam sayuran dan pokok pada Pertanian Bandar di Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Penduduk menjalankan aktiviti menanam sayuran dan pokok pada Pertanian Bandar di Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pertanian bandar pupuk muafakat kejiranan

KUALA LUMPUR: Janggal rasanya apabila melihat tanaman hijau 'menyapa' pandangan apatah lagi lokasi kebun bandar yang diusahakan itu terletak dalam kawasan perumahan awam yang lazimnya digambarkan sebagai kediaman sesak, tidak terurus serta pelbagai jolokan negatif lain.

Keharmonian penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat, begitu terserlah dan menjadi simbol muafakat apabila mereka sepakat mengusahakan kebun bandar sejak 2014 sehingga hasilnya secara tidak langsung menjimatkan belanja dapur dan kini menjana pendapatan sampingan.

Tanaman seperti cili, kubis, bayam Brazil, kucai, kesum, pegaga, pudina serta banyak lagi bukan sahaja 'mengindahkan' landskap perumahan itu, malah mewujudkan komuniti petani moden atau kebun bandar di tengah kesibukan kehidupan warga ibu kota.

Penduduk menjalankan aktiviti menanam sayuran dan pokok pada Pertanian Bandar di Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Penduduk menjalankan aktiviti menanam sayuran dan pokok pada Pertanian Bandar di Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Tanaman subur seperti terung, daun pandan, serai, pokok cincau serta pohon mangga, memperlihatkan 'kehijauan' suasana perumahan begitu menenangkan, biarpun lokasinya terletak beberapa meter dari plaza tol dan jalan raya utama.

Projek yang pernah mendapat bimbingan jabatan pertanian itu kini mempunyai sembilan plot tanaman dengan setiap satu berkeluasan antara 0.9 hingga 15.5 meter persegi.

Timbalan Pengerusi Kebun Bandar PA Seri Perlis 2, Norhasyimah Daud, 46, berkata baru-baru ini pihaknya menerima peruntukan di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM50,000 bagi kategori Komuniti bagi Projek Pertanian Bandar daripada Jabatan Pertanian yang disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

"Kesungguhan penduduk menjayakan projek ini sekali gus mengubah imej kawasan terbiar kepada kebun bandar yang bukan sahaja menghasilkan tanaman bebas racun, tetapi memperlihatkan komitmen peserta memajukan projek secara sukarela.

Terung ditanam di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Terung ditanam di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2. - NSTP/Saifullizan Tamadi

"Ini secara langsung mewujudkan kebun kejiranan yang berperanan penting menjana ekonomi penduduk dan pada masa sama, mengawal impak karbon iaitu peningkatan suhu akibat pembangunan dan kepadatan penduduk kota raya tetapi menyediakan persekitaran selesa, selamat dan harmoni.

"Ia sekali gus mewujudkan kawasan sihat dan mengubah imej negatif yang ada padanya melalui perubahan sikap masyarakatnya," katanya.

Norhasyimah berkata, selain Jabatan Pertanian, projek kebun bandar turut mendapat bimbingan kepakaran sains hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak dua tahun lalu.

"Bimbingan itu diselia Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Dr Juju Nakasha yang berkongsi pengetahuan dan program pertanian dengan dibantu penuntut ijazah sarjana muda sains hortikultur," katanya yang memaklumkan hasil pertanian penduduk turut diproses sebagai produk hiliran seperti kerepek, aiskrim dan makanan kering untuk dipasarkan.

Bagi ibu tunggal, Hamidah Ibrahim, 69, aktiviti berkebun mewujudkan rutin berjadual pagi dan petang yang berkualiti selain membantunya meraih pendapatan daripada jualan tanaman herba dan sayurannya.

"Sebenarnya sudah tiga tahun saya sertai projek bertani ini dengan tanaman utama bayam Brazil, kangkung dan pegaga. Kebiasaan selepas solat Subuh saya akan turun menyiram tanaman, membaja atau menuai hasilnya. Selepas Asar pula, saya sekali lagi menyiram tanaman.

"Kebanyakan hasilnya dijual kepada penduduk sini atau dibungkus kecil-kecil sebelum dijual di Pasar Tani Masjid MINDEF. Hasilnya cukup untuk saya buat belanja dapur," katanya.

Ketika mula menceburi tanaman, beliau pernah berputus asa apabila tanamannya mati, diserang ulat namun hasil berguru dan mempelajari teknik penanaman yang betul membantunya menyelesaikan masalahnya.

"Alhamdulillah kami di sini saling membantu dan ini menggalakkan ikatan silaturahim berbanding sebelum ini tidak berpeluang berkenalan dengan jiran tetangga berikutan masing-masing membuat hal sendiri dalam rumah," katanya.

Bagi pesara, Abdul Aziz Yahya, 60, beliau mengusahakan tanaman berbuah seperti terung, bendi, cili padi dan serai sejak dua tahun lalu.

"Dahulu tapak tanaman saya adalah tempat longgokan sampah. Namun selepas dibersihkan, kini saya mempunyai 100 rumpun serai, cili, timun dan bendi secara fertigasi menggunakan beg poli hitam.

"Setiap hari hampir enam jam saya luangkan masa berkebun. Seronok apabila penat lelah berbakti pada tanah membuahkan hasil lumayan yang tidak pernah disangkakan," katanya.

Kemuafakatan penduduk itu menghidupkan amalan pertanian bandar yang biasanya hanya dapat dilihat di kampung dapat dihidupkan di kawasan kediaman yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur ini.

Lazimnya, penduduk akan berkebun antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari sementara waktu petang adalah dari jam 5 hingga 7 petang setiap hari.

Berita Harian X