Jumaat, 26 Jun 2020 | 7:03pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Bekas pesakit COVID-19 jalani dua kajian susulan

KUALA LUMPUR: Dua kajian susulan dilakukan Kementerian Kesihatan ke atas bekas pesakit COVID-19 iaitu antibodi badan pesakit atau ketahanan tubuh serta kerosakan paru-paru yang akan dilaksanakan untuk setiap tiga bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kajian kerosakan paru-paru itu dilaksanakan melalui kaedah imbasan.

Katanya, kajian itu juga melihat kepada kategori dihadapi bekas pesakit ketika mereka dijangkiti COVID-19.

Kategori pertama adalah mereka yang dijangkiti tanpa gejala; kategori kedua - dijangkiti dengan bergejala; kategori ketiga - pesakit yang ada radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen; kategori keempat - pesakit dengan radang paru-paru dan memerlukan oksigen serta kategori kelima - mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Kajian susulan jangka pendek dan panjang ini untuk melihat perkembangan dan perubahan keadaan bekas pesakit," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan kajian antibodi pesakit itu dilaksanakan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati antibodi bekas pesakit tidak dapat bertahan lama dan tiada imuniti pasport.

Katanya, ada kajian lain di luar negara mendapati antibodi tidak dapat bertahan lama dan ketahanan tubuh mereka tidak kekal, selepas tiga bulan antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) semakin berkurangan.

"Kajian di China menunjukkan 17 peratus bekas pesakit tiada imuniti atau ketahanan tubuh kepada jangkitan kedua dan seterusnya," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, pesakit yang dibenarkan pulang akan diberi kaunseling termasuk langkah pencegahan jangkitan dan menjaga kebersihan.

"Jangkitan virus tiada ketahanan untuk jangkitan kedua. Apa yang penting kita perlu menjalankan kajian setiap tiga bulan, pengalaman dunia mengenai jangkitan ini hanya enam bulan saja," katanya

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X