Isnin, 22 Jun 2020 | 11:20am

Hantar BNCP selewat-lewatnya hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan diminta supaya mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) mereka bagi Tahun Taksiran (TT) 2019 selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), berkata ia adalah bagi memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini kerana katanya, pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan LHDN dan bagi memudahkan proses itu, pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengisi maklumat yang tepat serta terkini dalam BNCP mereka.

"Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 2,175,596 borang nyata cukai bagi TT 2019 diterima LHDNM daripada pembayar cukai dalam kategori yang tidak menjalankan perniagaan.

"Daripada jumlah itu, pengemukaan secara e-Filing sebanyak 2,139,360 atau merangkumi 98.33 peratus dan selebihnya adalah pengemukaan secara manual melalui borang kertas...mereka harus mengisi maklumat diri dan perbankan dengan tepat untuk kelancaran proses bayaran balik cukai, " katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Menurut LHDNM, antara maklumat penting yang diperlukan untuk kelancaran proses bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nama penuh, nombor pengenalan diri, maklumat akaun bank aktif, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor pendaftaran pertubuhan (bagi pembayar cukai kategori pertubuhan).

Katanya, sebagai panduan berkenaan pengemukaan BNCP ini, pembayar cukai boleh merujuk Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 yang boleh dicapai menerusi pautan berikut:

i. Bahasa Melayu:

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf

ii. Bahasa Inggeris:

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_2.pdf

LHDN berkata, bagi pembayar cukai individu, pihaknya turut menyediakan senarai pelepasan cukai bagi TT 2019 bagi membantu mereka mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelepasan cukai yang boleh dituntut ketika mengisi BNCP.

Senarai pelepasan cukai itu boleh diakses di portal rasmi LHDNM www.hasil.gov.my > Individu > Pelepasan Cukai.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDNM melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara),

b) HASiL Live Chat;

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan

d) Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu Facebook - https://www.facebook.com/LHDNM dan Twitter - https://twitter.com/LHDNMofficial.

Berita Harian X