Selasa, 16 Jun 2020 | 4:49pm
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

UPSI batal peperiksaan akhir semua kursus

TANJUNG MALIM: Memahami masalah capaian internet dihadapi sesetengah mahasiswa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil ketetapan tidak melaksanakan peperiksaan akhir bagi semua kursus pada pengajian semester ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata penularan COVID-19 di negara ini menyukarkan kehidupan pelajar universiti, termasuk dalam menguruskan sistem pendidikan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Katanya, ia bukan sahaja membabitkan kanak-kanak di peringkat prasekolah atau taman didikan kanak-kanak (TADIKA) dan sekolah, tetapi meluas sehingga universiti.

Justeru, Mohammad Shatar berkata, memikirkan masalah yang dihadapi pelajar, UPSI menukarkan peperiksaan akhir kepada pelaksanaan kerja kursus, projek atau aktiviti pembelajaran lain yang juga boleh dibuat pentaksiran bagi menggantikan peperiksaan akhir.

"Ia dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi pelajar seperti liputan internet selain mengadunkan beberapa kaedah lain yang sesuai untuk memudahkan mereka belajar," katanya.

Beliau berkata, UPSI juga mengirimkan secara pos lebih 500 unit pemacu 'pen drive' yang dimasukkan nota-nota kuliah dan lain-lain bahan pengajaran kepada mahasiswa yang tiada akses internet.

"Malah, tarikh penghantaran tugasan juga fleksibel kerana mengambil kira kesukaran yang dialami mahasiswa," katanya.

Mohammad Shatar berkata, pelajar pasca antarabangsa atau tempatan turut diberikan kebenaran menangguhkan semester dan yuran dibawa ke semester hadapan.

"UPSI akan sentiasa berusaha memastikan pelajar dibuat pentaksiran secara berterusan berikutan situasi penularan COVID-19 yang sukar diramal bila berakhir," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X