Sabtu, 6 Jun 2020 | 6:38pm
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

MIDA tubuh PACU percepat proses pelaburan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menubuhkan satu unit baharu - Project Acceleration and Coordination Unit (PACU), yang akan memudahkan proses kelulusan dan mempercepatkan pelaksanaan projek pengilangan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata proses kelulusan lesen pengilang untuk industri tidak sensitif juga akan disingkatkan kepada dua hari bekerja sahaja.

Katanya kementerian yakin skim insentif cukai dan pelaburan yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat meningkatkan pelaburan domestik dan asing selain menarik syarikat multinasional untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia.

"Skim insentif cukai dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baharu yang berteknologi tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan 40 inisiatif di bawah PENJANA bernilai RM35 bilion yang sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, meningkatkan kemahiran semula dan membantu aliran tunai perniagaan.

Mohamed Azmin juga berkata insentif cukai yang diperkenalkan dalam PENJANA dijangka menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baharu yang berteknologi tinggi.

Pengecualian cukai sepenuhnya selama 10 tahun yang akan diberikan bagi pelaburan baharu dalam harta tetap antara RM300 juta hingga RM500 juta, selain pengecualian cukai sepenuhnya selama 15 tahun bagi pelaburan dalam harta tetap melebihi RM500 juta akan memberikan impak positif yang amat diperlukan bagi pelaburan dan penciptaan pekerjaan.

Katanya, Galakan Khas Elaun Pelaburan Semula akan diberikan bagi tahun taksiran 2020 hingga 2021.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin semua insentif ini akan meningkatkan pelaburan domestik dan asing, selain menarik syarikat multinasional untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia," katanya.

"MITI yakin dengan adanya pelan pemulihan terbaharu ini berserta kelonggaran kawalan pergerakan akan memberikan anjakan bagi memacu dan menyuburkan semula ekonomi negara, sekali gus menjamin pemulihan ekonomi yang menyeluruh," katanya.

Selain itu katanya, inisiatif pelepasan cukai untuk pembelian perkakasan teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi menggalakkan lebih ramai pekerja bekerja dari rumah amat penting dalam usaha negara melangkah ke arah ekonomi digital.

"Insentif ini sememangnya akan mendorong sektor swasta untuk kekal produktif dan anjal, walaupun bekerja dari rumah.

"Ini seterusnya akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses kerja dan seterusnya mencapai hasrat kerajaan untuk membudayakan pendigitalan dalam komuniti perniagaan amnya serta ekonomi secara menyeluruh," katanya.

Mohamed Azmin berkata, perlanjutan tempoh tiga bulan bagi Program Subsidi Upah dengan peruntukan RM5 bilion pula akan menjamin perlindungan pekerjaan rakyat.

"Melalui pengenalan insentif antara RM600 ke RM1,000 kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan bagi penganggur dan pelatih industri, kerajaan dapat memastikan manfaat yang disediakan dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat," katanya.

Katanya, pelbagai kelebihan yang ditawarkan PENJANA sebagai pemangkin ekonomi utama negara termasuk perindustrian kecil dan sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan (MTCs), perusahaan sosial dan 'start-up' menunjukkan tindakan kerajaan yang pantas dalam memenuhi keperluan entiti berkenaan.

"Langkah ini akan menyuntik dinamisme baharu dalam sektor PKS yang menjadi pencipta pekerjaan terbanyak dalam ekonomi," katanya.

Berita Harian X