Rabu, 3 Jun 2020 | 9:42pm
Gambar fail menunjukkan pekerja Perusahaan Keropok Tokku Lekor, antara syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beroperasi di Kampung Losong, Kuala Terengganu, menghasilkan keropok sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto GHAZALI KORI
Gambar fail menunjukkan pekerja Perusahaan Keropok Tokku Lekor, antara syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beroperasi di Kampung Losong, Kuala Terengganu, menghasilkan keropok sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto GHAZALI KORI

DPMM harap kerajaan percepat bantuan kepada PKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempercepatkan lagi penyaluran bantuan dana kewangan kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19 jika ada inisiatif tambahan dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin, berkata melalui bantuan diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebelum ini, penyaluran dana untuk PKS agak perlahan biarpun permohonan diluluskan lebih awal.

Katanya, ia sekali gus memberi kesukaran dan kesulitan kepada usahawan dan PKS untuk memulakan semula perniagaan berikutan tidak mempunyai modal permulaan mencukupi untuk kembali beroperasi.

"Salah satu dana itu ialah Kemudahan Bantuan Khas (SRF). Banyak syarikat dan PKS sudah mendapat kelulusan, tetapi dana itu belum disalurkan. Adakalanya bank memberi alasan tidak logik seperti hanya akan salur bantuan itu kepada pemohon sebaik sahaja menerimanya daripada kerajaan.

"Kami sudah buat aduan mengenai perkara ini kepada Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya sambil menambah, sebab utama lain dana lambat disalurkan ialah bank perlu mendapatkan kelulusan BNM dan melalui Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk tujuan sama sebaik kelulusan diberikan.

Katanya, dalam perjumpaan dengan BNM pada Isnin lalu, DPMM dimaklumkan kadar kelulusan daripada bank pusat berkenaan adalah tinggi, tetapi masalah tunggakan kerja adalah daripada CGC.

"Maka, kita mohon CGC dapat mempercepatkan proses permohonan dana ini supaya membolehkan PKS dan peniaga segera menerima modal yang diperlukan untuk mereka kembali beroperasi seperti biasa.

"Masih ada pemohon yang belum menerima dana yang sepatutnya diterima mereka sekarang iaitu pada bulan ini sedangkan permohonan sudah dibuat sejak April dan Mei lalu," katanya.

Jika masalah itu tidak ditangani segera, katanya, boleh mengganggu pergerakan keseluruhan rantaian bekalan kerana seandainya kilang tidak boleh menghasilkan barang, ia akan memberi kesan kepada pedagang untuk menghantar barang dan seterusnya peruncit yang tiada produk untuk dijual.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim turut berharap kerajaan dapat melanjutkan pemberian subsidi upah daripada tiga bulan ketika ini kepada sekurang-kurangnya enam atau sembilan bulan.

"Kebanyakan perniagaan ketika ini masih mencapai kapasiti penuh dalam operasi mereka dan berdepan cabaran untuk kembali ke tahap seperti sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Bayangkan, sebuah restoran mempunyai keupayaan untuk menampung 100 pelanggan dalam masa sejam, tetapi dengan normal baharu, terpaksa dikurangkan kepada 40 orang saja. Sudah tentu ini akan menjejaskan pendapatan sedangkan kos operasi seperti sewa dan gaji pekerja sama," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X