Rabu, 3 Jun 2020 | 1:07pm

Tarikh akhir kemuka BNCP dilanjut sehingga 30 Jun

KUALA LUMPUR: Tarikh akhir bagi mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan bagi tahun taksiran 2019 dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), berkata pertimbangan itu diberikan selepas mengambil kira kekangan dihadapi pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan COVID-19.

"Sehubungan itu, tarikh akhir pengemukaan BNCP bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan (Borang BE/e-BE/m-BE/Borang M/e-M) dilanjutkan ke 30 Jun 2020 dan ia boleh dibuat menerusi aplikasi ezHASiL melalui pautan pantas https://ez.hasil.gov.my/CI/.

"Ia juga boleh dilakukan secara manual dengan memuat turun borang di portal rasmi LHDNM, " katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, LHDNM berkata, bagaimanapun bagi terus menyokong usaha membendung penularan wabak COVID-19, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan menghantar BNCP.

Katanya, pembayar cukai disaran menggunakan kesempatan ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk memfailkan BNCP mereka.

Sebagai rujukan, program pemfailan BNCP bagi tahun 2020 boleh dicapai menerusi pautan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf bagi Bahasa Melayu dan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_2.pdf (Bahasa Inggeris).

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDNM melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara),

b) HASiL Live Chat;

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

d)Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu Facebook - https://www.facebook.com/LHDNM dan Twitter - https://twitter.com/LHDNMofficial

Berita Harian X