Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:34am
Buat kali pertama, seramai 50 orang guru termasuk pensyarah dan pesara guru bekas penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur mendendangkan lagu keramat 'Kami Guru Malaysia' secara alam maya.
Buat kali pertama, seramai 50 orang guru termasuk pensyarah dan pesara guru bekas penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur mendendangkan lagu keramat 'Kami Guru Malaysia' secara alam maya.

50 guru kali pertama nyanyi koir secara alam maya

JERANTUT: Seramai 50 guru termasuk pensyarah dan pesara guru dan bekas penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur mendendangkan lagu keramat 'Kami Guru Malaysia', buat kali pertamanya, secara alam maya.

Lebih menarik, ia dinyanyikan secara koir dan diiringi piano yang dimainkan oleh Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.

Ketua Jabatan Pendidikan Muzik, IPGKIK, Nik Rozalind Nik Hassan, berkata cadangan itu tercetus menjelang beberapa hari sambutan Hari Guru Tahun 2020, memandangkan sambutan tahun ini tidak diadakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, rakaman itu dilakukan dalam tempoh tiga hari secara dalam talian oleh 50 guru bekas penuntut kursus muzik diI PGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.

Alumni IPGKIK, Raja Nadiah Raja Zaharuddin Shah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penchala, Kualu Lumpur, berkata bagi memeriahkan sambutan hari guru tahun ini, cetusan cadangan koir secara alam maya itu mendapat sokongan penuh daripada rakan alumni IPGKIK yang berada di merata tanah air.

"Kami berhubung dengan menggunakan aplikasi WhatsApp dan berbincang untuk mewujudkan koir hari guru secara alam maya itu.

"Idea itu tercetus dari cadangan seorang guru di Ipoh, Perak dan disokong penuh oleh Ketua Jabatan Muzik, IPGKIK, Nik Rozalind Nik Hassan," katanya.

Katanya, cadangan ini turut mendapat sokongan, Mokhzani yang sudi memainkan piano lagu 'Kami Guru Malaysia' kerana beliau juga adalah alumni IPGKIK dan bekas guru sebelum ke RTM.

Seorang pesara guru, alumni IPGKIK, Amir Hamzah Nordin dari Jerantut, Pahang yang turut dipelawa untuk menyertai kumpulan koir itu menyifatkan idea itu sungguh menarik.

"Saya begitu seronok dan teruja apabila diundang oleh rakan lama untuk bersama-sama menyanyi secara koir dalam alam maya buat kali pertamanya.

"Kebetulan, Mokhzani yang mengiringi kami, memainkan piano itu adalah rakan sekursus semasa di IPGKIK pada tahun 1980-1981," katanya.

Amir Hamzah berkata, apabila siap tidak sangka hasilnya menakjubkan kerana dalam masa begitu singkat dapat mewujudkan koir alam maya yang pertama di Malaysia menyanyikan lagu 'Kami Guru Malaysia' sempena hari guru," katanya.

Berita Harian X