Khamis, 7 Mei 2020 | 6:06pm
Usaha cari vaksin COVID-19 sukar jika banyak mutasi dikesan. - Foto hiasan
Usaha cari vaksin COVID-19 sukar jika banyak mutasi dikesan. - Foto hiasan

COVID-19: Mutasi, varian genetik pengaruhi keberkesanan vaksin

PUTRAJAYA: Usaha menghasilkan vaksin yang kini dirintis pelbagai negara di seluruh dunia, berkemungkinan menjadi lebih sukar sekiranya lebih banyak mutasi atau varian genetik COVID-19 dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kewujudan lebih banyak mutasi dan varian genetik COVID-19 akan mempengaruhi keberkesanan vaksin yang dihasilkan.

Sehubungan itu, katanya, kajian penghasilan vaksin yang diselia dan diselaras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika ini harus bersifat menyeluruh, termasuk mengambil kira kemungkinan kewujudan mutasi dan varian genetik COVID-19.

"Kalau vaksin dapat dihasilkan, kita perlu lihat kepada kesan sampingan apabila diberi kepada pesakit, justeru usaha mencari penawar COVID-19 akan mengambil masa lebih satu setengah tahun.

"Lebih susah lagi untuk hasilkan vaksin apabila banyak strain (varian genetik) atau mutasi yang bakal mempengaruhi keberkesanan vaksin.

"Oleh itu, kajian penghasilan vaksin harus dibuat secara menyeluruh," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati wujud komplikasi kesihatan, selain radang paru-paru dalam kalangan individu yang disahkan positif COVID-19.

Katanya, kegagalan pelbagai organ dalam tubuh badan itu antaranya merangkumi buah pinggang dan jantung yang berpunca daripada saluran darah tersumbat atau trombosis.

"Jadi kita dapati ada kes kematian bukan hanya berpunca daripada radang paru-paru yang menjadi kelaziman dalam kalangan pesakit COVID-19, tetapi kegagalan pelbagai organ.

"Berikutan saluran darah yang tersumbat, oksigen tidak sampai ke organ berkaitan, sehingga menyebabkan kegagalan dan mengundang maut," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X