Rabu, 6 Mei 2020 | 3:46pm

KPT benarkan ibu bapa ambil anak di institusi pengajian tinggi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan ibu bapa pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti, menjemput anak mereka pulang dari kampus ke kediaman masing-masing.

KPT dalam kenyataannya berkata, kebenaran itu diberi selepas satu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diadakan, semalam.

Sehubungan itu, KPT memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk menjemput anak masing-masing di kampus bermula hari ini, namun ia terhad kepada pergerakan di dalam negeri berkenaan saja.

"KPT ingin mengingatkan sekali lagi bahawa urusan ini hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan pergerakan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ibu bapa dan pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu di talian 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124," menurut kenyataan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X