X
Ahad, 3 Mei 2020 | 11:46pm
Pekerja Restoran Q Bistro menyusun meja dengan jarak dua meter antara meja yang lain bagi membuat persiapan untuk membuka kembali restoran di Bandar Sri Permaisuri. Kerajaan membenarkan sektor ekonomi dan pekerjaan beroperasi semula pada esok dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pekerja Restoran Q Bistro menyusun meja dengan jarak dua meter antara meja yang lain bagi membuat persiapan untuk membuka kembali restoran di Bandar Sri Permaisuri. Kerajaan membenarkan sektor ekonomi dan pekerjaan beroperasi semula pada esok dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). NSTP/AIZUDDIN SAAD

Ekonomi perlu dibuka semula secara teratur

KUALA LUMPUR: Semua pihak merangkumi kerajaan Persekutuan dan Negeri, komuniti perniagaan, majikan, pekerja dan orang ramai perlu bekerjasama bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok, dapat dilaksanakan secara lancar dan teratur.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), berkata aspek keselesaan tidak boleh diutamakan dan sebaliknya semua rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelak gelombang baharu pandemik COVID-19.

"Pada saat kritikal ini, kita perlu bersatu untuk membuktikan keazaman, keyakinan dan kesungguhan memerangi virus ini dan menyokong semua usaha bagi menghidupkan semula ekonomi," kata Presiden NCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga yakin kerajaan sudah mengambil kira semua aspek termasuk tiada kompromi terhadap risiko kesihatan orang ramai sebelum memutuskan untuk membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan kegiatan perniagaan dibuka semula.

PKPB itu turut menetapkan pematuhan ketat dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi memastikan keselamatan komuniti dan pekerja dilindungi.

Leong Yap berkata, NCCIM juga memahami keperluan kerajaan untuk mencari keseimbangan antara melindungi kesihatan umum dan kemampanan ekonomi serta sumber pencarian rakyat.

Menurutnya, lanjutan PKP telah memberi impak kepada perniagaan termasuk perusahaan mikro dari segi defisit aliran tunai, kerugian pendapatan yang ketara, perniagaan ditutup dan menyebabkan kehilangan kerja dan pendapatan.

"Krisis ekonomi yang berpanjangan dan digabungkan pula dengan peningkatan kadar pengangguran boleh menyebabkan keadaan sukar dikawal dan bertukar dalam bentuk masalah sosial," katanya.

Tambahnya usaha membendung pandemik COVID-19 akan memakan masa sehinggalah vaksin atau perubatan antiviral itu dapat dihasilkan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan PKPB itu sebagai memastikan ekonomi terus berfungsi, membantu kelangsungan dan kemampanan perniagaan yang sebaliknya mampu menyelamatkan beratus-ratus pekerjaan serta menjamin pendapatan.– BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X