X
Jumaat, 1 Mei 2020 | 12:05pm
PETUGAS Jabatan Kesihatan menggunakan alat penyukat suhu badan untuk mengesan penumpang yang kurang sihat. - Foto BERNAMA
PETUGAS Jabatan Kesihatan menggunakan alat penyukat suhu badan untuk mengesan penumpang yang kurang sihat. - Foto BERNAMA

'Kemudahan kesihatan negara cukup hadapi peningkatan kes COVID-19'

KUALA LUMPUR: Negara mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula," kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, negara mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi.

"Kita sudah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja, hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu terima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang ini, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah, hasil usaha kerjasama semua pihak yang amat berdisiplin.

"Teruskan usaha ini agar kita dapat 'menghijaukan' lebih

banyak kawasan terjejas secepat yang boleh.

"Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO," katanya.

Pertama, kawalan sempadan negara telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku; kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan; ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan; keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya; kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X