Ahad, 26 April 2020 | 6:08pm

Bilik Gerakan KPT beroperasi 24 jam pantau pergerakan pelajar

KUALA LUMPUR: Bilik Gerakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh proses penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di asrama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Justeru, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung pergerakan itu boleh menghubungi talian hotline 03-88706777/6628/6949/6623/6124/

"KPT sudah menyediakan garis panduan sebagai rujukan untuk agensi berkaitan, pelajar dan ibu bapa dalam proses pergerakan pelajar IPT ini.

"KPT juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang dikenalpasti ke destinasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan ketika pergerakan pulang pelajar dan setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi seorang pegawai perhubungan yang akan mempunyai senarai lengkap pelajar.

Katanya, saringan gejala akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar dilakukan.

"Pelajar IPT bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat esok (hari ini) kecuali dari zon merah dan kuning. Hanya pelajar di zon hijau dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga berada dalam zon hijau.

"Pelajar diingatkan sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai cecair pembasmi kuman," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pergerakan pulang pelajar IPT yang terkandas di asrama akibat PKP, akan bermula malam esok membabitkan universiti di zon tengah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X