Jumaat, 24 April 2020 | 10:18pm

MeHDA rayu BPN 'one-off' RM500 kepada semua pemandu e-hailing

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberikan bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 'one-off' sebanyak RM500 kepada semua pemandu e-hailing yang mempunyai lesen kenderaan awam (PSV).

Rayuan itu dikemukakan Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA), Daryl Chong bagi memberi keadilan kepada golongan itu tanpa mengira mereka memandu secara separuh atau sepenuh masa.

Katanya, syarat ditetapkan kerajaan kepada pemandu e-hailing untuk menerima BPN iaitu perlu memandu secara sepenuh masa disifatkan tidak memberi keadilan kepada golongan berkenaan.

"Kami tidak begitu gembira dengan syarat dikenakan iaitu khas untuk pemandu sepenuh masa sedangkan semua pemandu disyaratkan memiliki PSV di samping peraturan lain.

"Kami merayu supaya BPN diberikan kepada semua pemandu yang memiliki PSV dan bukan tertumpu kepada mereka yang memandu secara sepenuh masa saja," katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan syarat dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hanya untuk pemandu e-hailing sepenuh masa dan kenderaan dipandu memiliki Permit Kenderaan e-Hailing (eVP) layak menerima BPN.

Pemandu turut disyaratkan memperoleh pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM1,200 iaitu bayaran tambang kasar, berdasarkan jumlah kutipan tambang untuk tiga bulan berturut-turut pada November dan Disember 2019 serta Januari lalu.

Sekiranya memiliki pendapatan bulanan kurang dari RM1,200, pemandu boleh membuat rayuan di portal rasmi APAD mulai Mei ini. Sekiranya pemandu e-hailing menerima bantuan RM600 bagi pemandu teksi sebelum ini, mereka tidak layak untuk menerima insentif RM500.

Daryl turut mencadangkan kerajaan menyediakan 'bakul makanan' atau bantuan tambahan RM250 kepada pemandu e-hailing yang layak bagi mengurangkan beban mereka menanggung kos sara hidup berikutan permintaan perkhidmatan itu yang berkurang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, seorang pemandu e-hailing dari Kajang, Hazizul Hanim Kafri mendakwa, beliau sudah menerima BPN dua hari lalu walaupun memandu secara separuh masa.

Muhammad Arif Baharuddin mendakwa, ada dalam kalangan rakannya belum menerima bantuan berkenaan mungkin disebabkan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

"Saya berpendapat, syarat perlu ada pendapatan RM1,200 dalam tempoh tiga bulan itu dan berkhidmat sepenuh masa itu tidak sesuai. Bantuan wajar diberi kepada semua pemandu yang miliki PSV," katanya.

Seorang lagi pemandu e-hailing, Muhammad Arif Baharuddin turut berharap kerajaan mengagihkan BPN kepada semua pemandu tanpa mengambil kira mereka memandu separuh atau sepenuh masa.

"Sepanjang tempoh PKP ini, permintaan kurang, agak sukar untuk kami mendapat pendapatan. Kalau boleh agihkan sama rata untuk kami meneruskan kehidupan," katanya.

Sementara itu, Grab Malaysia dalam satu kenyataan berkata, BPN untuk pemandu e-hailing sedang diagihkan secara berperingkat kepada pemandu Grab yang layak.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana berfikir untuk semua golongan masyarakat dengan semangat tiada siapa akan ditinggalkan.

"Kepada pemandu yang layak tapi masih belum menerima BPN, pengagihan dilakukan secara berperingkat," kata kenyataan itu.

Berita Harian X