Ahad, 12 April 2020 | 7:55am
Sebahagian penuntut Universiti Malaya yang kini masih berada dalam kampus universiti itu sepanjang tempoh PKP.
Sebahagian penuntut Universiti Malaya yang kini masih berada dalam kampus universiti itu sepanjang tempoh PKP.

COVID-19: Kampus atau kediaman keluarga, mana lebih selamat

KUALA NERUS: Pensyarah universiti tempatan, berbeza pandangan dalam isu penghantaran pulang pelajar yang yang kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing.

Walaupun ada yang berpandangan IPT boleh bekerjasama dalam menguruskan penghantaran pulang itu, ada yang bimbang risiko terhadap pelajar yang pulang ke pangkuan keluarga dalam zon merah.

Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli, mencadangkan kerjasama pintar di antara IPT bagi proses penghantaran pulang pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau berkata, sebelum kaedah itu digunakan, pelajar perlulah melalui proses tertentu dan didapati sihat daripada sebarang gejala COVID-19.

Katanya, penghantaran pelajar mestilah menggunakan bas IPT dan bukannya pengangkutan awam bagi tujuan keselamatan dan mengelak daripada sebarang risiko dijangkiti.

“Sebagai contoh, UMT akan menghantar pulang pelajar ke Johor dan bas sama juga digunakan untuk mengangkut anak-anak Terengganu yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sana untuk pulang ke sini.

“Langkah ini boleh dilaksanakan kerana kita memiliki universiti awam di seluruh negara,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Noraini Ahmad, berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar yang berada di kampus ke rumah masing-masing susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mencadang dan menasihat KPT supaya bersabar dalam tempoh seminggu dua sebelum membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung masing-masing.

Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan, Mohd Uzair turut mencadangkan supaya setiap universiti membekalkan pelajar dengan makanan supaya mereka tidak perlu singgah lebih lama di mana-mana Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Perkongsian bijak sesama universiti akan menjimatkan wang dan lebih penting mengelak risiko jangkitan COVID-19. Pelajar juga akan lebih selesa dan ceria menyambung sesi pembelajaran secara dalam talian di kampung bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) UMT, Dr Laili Che Rose berpendapat kebajikan pelajar kini berada pada tahap yang baik dan seeloknya terus kekal di kampus.

Beliau berkata, sebagai ibu kepada dua anak yang juga sedang belajar di universiti tempatan dan luar negara, beliau amat memahami keresahan serta kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan dan kebajikan anak mereka.

“Ketika ini keseimbangan telah dicapai apabila pelajar di kampus berada dalam kesihatan yang baik, begitu juga ibu bapa mereka di kampung.

“Tetapi bayangkan bagaimana sekiranya keseimbangan itu diganggu kerana saya yakin, pasti akan ada yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam pergerakan dari kampus ke kampung masing-masing.

“Malah, mungkin ada pelajar yang kampungnya dikategorikan sebagai zon merah dan ini akan mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X